Konvensyen DTP bina jaringan pendidikan cekap, telus

Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali berharap gagasan Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) yang diketengahkan oleh KPM mampu memacu dan membantu pembinaan karakter pelajar di sekolah.
Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali berharap gagasan Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) yang diketengahkan oleh KPM mampu memacu dan membantu pembinaan karakter pelajar di sekolah.
A
A
A

ALOR SETAR - Konvensyen Program Transformasi Daerah (DTP) 2023 yang julung kali diadakan adalah bertujuan membina jaringan lebih erat dengan warga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah selaras dengan Teras 1 Nadi Unggul Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, hubungan yang dibina adalah memastikan komunikasi antara KPM, JPN, PPD dan sekolah menjadi lebih cekap serta telus.

Menurutnya, kefahaman dan rasa tanggungjawab perlu diterapkan di kalangan semua pegawai bagi membantu dan menyokong para guru dalam setiap perkara yang berlaku di sekolah.

"Sokongan itu (perlu) datang dalam satu perasaan yang ikhlas, jujur, penuh empati, penuh ihsan, dan tanggungjawab (di kalangan pegawai di semua peringkat atasan), itulah mesej saya.

"Kita berharap apa yang kita dapat semasa berkumpul di Alor Setar ini apabila balik ke daerah masing-masing agar dapat diterjemahkan. Pesanan saya pegawai yang pergi ke sekolah janganlah bawa gaya atasan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Bicara Eksekutif Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sempena Konvensyen Program Tranformasi Daerah di sini, pada Ahad.

Konvensyen DTP 2023 yang dilaksanakan merupakan suatu medium yang disediakan oleh KPM agar semua pegawai JPN, PPD dan sekolah dapat membina jaringan dan jalinan (networking) selain berkongsi idea dan amalan terbaik pengoperasian berdasarkan lokaliti masing-masing.


Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali (tiga kiri) selepas Majlis Bicara Eksekutif Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sempena Konvensyen Program Transformasi Daerah di Alor Setar, pada Ahad.
Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali (tiga kiri) selepas Majlis Bicara Eksekutif Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sempena Konvensyen Program Transformasi Daerah di Alor Setar, pada Ahad.

Konvensyen ini disertai 16 JPN yang disertai Pengarah dan Pengurus DTP negeri; 142 pegawai pendidikan daerah dan Pengurus DTP dan 145 pengetua sekolah dari seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata, perkongsian kerjayanya selama 34 tahun berkhidmat bersama PKM juga bertujuan memberikan pesanan kepada pemimpin dalam pendidikan agar dekat dan sentiasa bersama para guru.

"Guru-guru ada cabaran paling besar mereka di sekolah melalui pelbagai situasi. Setiap hari ada murid yang berbagai kebolehan, sikap, emosi jadi pemimpin yang ada di daerah yang kita kumpulkan ini penting untuk mereka cepat menilai situasi yang berlaku di sesebuah sekolah di kawasan mereka itu untuk memberikan sokongan terbaik.

"Sebenarnya program transformasi daerah ini diadakan dengan tujuan pegawai di PPD membantu menyokong apa yang berlaku di sekolah. jadi sokongan itu datang dalam satu perasaan dan tanggungjawab," ujar beliau.

Menurutnya lagi, gagasan Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) yang diketengahkan oleh KPM diharapkan mampu memacu dan membantu pembinaan karakter yang terkait rapat dengan disiplin, adab susila dan kesopanan yang menjadi teras kepada pelajar sekolah.


Konvensyen DTP 2023 disertai 16 JPN melibatkan Pengarah dan Pengurus DTP negeri; 142 pegawai pendidikan daerah dan Pengurus DTP dan 145 pengetua sekolah dari seluruh negara.
Konvensyen DTP 2023 disertai 16 JPN melibatkan Pengarah dan Pengurus DTP negeri; 142 pegawai pendidikan daerah dan Pengurus DTP dan 145 pengetua sekolah dari seluruh negara.

"ABC ini dapat membina murid kita menjadi lebih baik lebih yakin. Semangat terus menimba ilmu dan satu hari nanti berjasa kepada negara, lebih baik daripada apa yang kita ada hari ini.

"Saya tidak fikir anak yang baik ini tidak akan cerdik. Biasanya anak baik akhirnya akan cerdik sebab baik itu adalah patuh pada disiplin, dengar cakap cikgu, belajar benda baik-baik dan akhirnya dia akan berjaya," kata Pkharuddin.

Dalam pada itu, beliau juga memberikan pesanan kepada semua guru di seluruh negara agar sabar dalam mendidik pelajar masing-masing yang mempunyai pelbagai karenah.

Menurutnya, pendekatan yang betul perlu digunakan oleh para pendidik dan akhirnya pelajar akan patuh kerana mengagumi sifat dan kesabaran yang ditunjukkan oleh guru tersebut.

"Harapan saya guru perlu tabah dan dalam tempoh 10 tahun pertama ini bila mereka sudah diyakini, disegani, dipercayai oleh anak murid, mereka akan menjadikan guru sebagai idola dan lebih banyak kejayaan yang akan datang dalam hidup mereka, ujar beliau lagi.