Sistem perparitan terganggu punca banjir di pusat beli-belah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SUBANG JAYA - Sistem perparitan terganggu akibat kerja pembinaan dikatakan menjadi punca kejadian banjir kilat di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, hujan lebat selama tiga jam menyebabkan limpahan air memasuki ke dalam pusat beli-belah berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.

"Sistem perparitan di kawasan parkir bangunan yang tidak lancar menyebabkan berlaku banjir kilat paras buku lali di lokasi terbabit.

"Kejadian itu disyaki berpunca daripada kerja-kerja pembinaan di belakang pusat beli-belah tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Wan Azlan berkata, kejadian banjir itu tidak membabitkan sebarang kerosakan kenderaan dan semua kenderaan yang berada di tempat terjejas berjaya dialihkan.

"Namun, terdapat limpahan air yang memasuki pekarangan pusat beli-belah tersebut. Banjir beransur pulih pada lewat petang.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan tidak berada di tempat rendah ketika cuaca tidak menentu pada musim Monsun Timur Laut ketika ini," katanya.

Keadaan banjir di ruang parkir sebuah pusat beli-belah, di Subang Jaya pada Ahad.
Keadaan banjir di ruang parkir sebuah pusat beli-belah, di Subang Jaya pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan pengunjung pusat beli-belah itu panik seketika apabila ruangan bahagian tingkat bawah bangunan terbabit dimasuki air susulan hujan lebat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8.39 malam.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati air berketinggian 0.30 meter di lokasi kejadian.