[VIDEO] Pemilik syarikat didakwa buat tuntutan palsu program PERKESO

A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemilik syarikat teknologi maklumat (IT), mengaku tidak bersalah atas kesemua enam pertuduhan menipu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.

Tertuduh, K. Shiva Lingaa 30, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat PERKESO Johor Bahru pada 30 Jun 2021 lalu.

Tertuduh diiringi polis di mahkamah sesyen pada Isnin.
Tertuduh diiringi polis di mahkamah sesyen pada Isnin.

Bagi pertuduhan pertama sehingga pertuduhan keenam, tertuduh didakwa telah mengemukakan borang pengesahan pekerja palsu bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja yang keseluruhannya berjumlah RM196,760.

Bagaimanapun, kesemua lapan pekerja tersebut didapati bukannya pekerja di syarikat miliknya dan borang berkenaan dikemukakan dengan niat memperdayakan kakitangan PERKESO.

Kesemua dokumen yang dikemukakan tertuduh juga didapati mengandungi butiran palsu mengenai kesemua pekerja tersebut.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan pasport antarabangsa milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguambela tertuduh, Muhammad Faizzudin Abd Ra’fik bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM15,000 kerana tertuduh yang memiliki pendapatan RM3,000 sebulan menanggung kedua ibu bapanya.

Selain itu, tertuduh juga tidak pernah gagal untuk hadir pada siasatan di pejabat SPRM.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain 6 Disember depan sebagai tarikh penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.