Kerajaan tidak terdesak terima sokongan Ahli Parlimen PN - Saifuddin

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KULIM - Kerajaan Perpaduan tidak terdesak sehingga memerlukan sokongan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk mengukuhkan pentadbiran pada ketika ini.

Sebaliknya, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedudukan kerajaan sekarang ini berada pada tahap meyakinkan.

“Kerajaan bergerak macam biasa, tak ada sebarang masalah, daripada sudut tahap sokongan yang ada sekarang pada kedudukan sangat meyakinkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Prihatin Komuniti Jabatan Pendaftar Pertubuhan Peringkat Zon Utara di sini pada Jumaat.

Tambah Saifuddin, beliau dalam masa sama menafikan terdapat ugutan yang mempengaruhi keputusan yang dibuat ahli Parlimen terbabit.

Saifuddin menyampaikan Geran Prihatin Komuniti kepada salah seorang penerima di Kulim pada Jumaat.
Saifuddin menyampaikan Geran Prihatin Komuniti kepada salah seorang penerima di Kulim pada Jumaat.

“Tak ada apa-apa ugutan terhadap kedudukan kerajaan yang ada sekarang... jadi kalau ada umpamanya keadaan di mana beberapa ahli Parlimen daripada PN yang menyatakan sokongan, bagi kami, kami mengalu-aluhkan.

"Tapi nak katakan bahawa sokongan itu adalah hasil daripada mereka diugut, kita menafikan," katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa terdapat percubaan daripada blok kerajaan untuk menghasut Ahli Parlimen PN bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Dakwanya, beberapa wakil rakyat PN didatangi seorang ahli perniagaan dengan cubaan untuk mengikat mereka ke dalam perbincangan mengenai pertukaran sokongan di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menempelak tuduhan tidak berasas itu kerana tiada sebarang bukti dikemukakan pembangkang.

Katanya, Perdana Menteri juga menyebut di Parlimen sebelum ini bahawa ianya tuduhan serius yang pembuktiannya perlu dibuat bagi mengesahkan ugutan itu.

“Pihak yang mendakwa kena datangkan bukti, hari ini bila media tanya (Hamzah) jawapannya adalah sedang mengumpul. Kalau itu maknanya belum sahih, belum pasti jadi. Kalau sedang kumpul (bukti) jangan buat tohmahan dulu, tunggu sehingga ada bukti wujudnya ugutan.

“Di pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis sendiri pun tak ada aduan berkenaan dakwaan itu. Jadi bola sebenarnya di gelanggang Hamzah dan PN untuk mendatangkan bukti,” katanya.

Saifuddin sebaliknya berkata, gerakan-gerakan seperti didakwa pembangkang itu adalah ‘kerja’ Hamzah ketika menjatuhkan kerajaan melalui Langkah Sheraton pada 2020.