'Saya di sini buta warna' - Johari

Johari - Foto Bernama
Johari - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak berhasrat untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli Parlimen yang mengkritiknya di luar persidangan institusi tersebut, meskipun mempunyai hak berbuat demikian.

Menurut bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu, fokus beliau untuk memastikan perjalanan sidang dewan berkenaan berjalan lancar bagi memastikan perjuangan kesejahteraan rakyat berjalan lancar.

“Apa juga yang diungkapkan di dalam dewan ini (Dewan Rakyat) yang mempersoalkan kewibawaan dan keputusan saya, saya akan ambil tindakan. Tetapi kalau hina saya di luar, panggil saya tidak layak, tidak berpendidikan terpulang. Itu bukan urusan saya.

“Saya di sini buta warna (tidak sebelah mana-mana parti politik). Sebelah kanan (kerajaan) saya bertanggungjawab dan sebelah kiri (pembangkang) juga saya bertanggungjawab.

“Saya di sini diletakkan sebagai insan yang akan kendalikan perjalanan (Dewan Rakyat) agar keputusan kita ambil akan memanfaatkan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Johari berkata demikian bagi memberi respons kepada soalan dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memohon petuanya mengenai tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengkritik beliau baru-baru ini.

Menurut laporan sebuah portal berita, Hamzah mendakwa ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mempunyai kredibiliti sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun menegaskan, beliau juga tidak berhasrat untuk melayani permainan politik pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

“Yang Berhormat hendak main politik main lah, jangan libatkan saya,” katanya.