Israel alami kejatuhan moral

Ketua Angkatan Tentera Penentang dan Briged Al-Qassam, Muhammad Al-Deif mengisytiharkan serangan balas terhadap penceroboh Israel di Palestin. - Gambar fail/Reuters
Ketua Angkatan Tentera Penentang dan Briged Al-Qassam, Muhammad Al-Deif mengisytiharkan serangan balas terhadap penceroboh Israel di Palestin. - Gambar fail/Reuters
A
A
A

KUALA NERUS - Rejim Zionis Israel menghadapi situasi kejatuhan moral serta dimalukan apabila mendapat tentangan daripada pejuang yang tidak memiliki kekuatan ketenteraan dalam peperangan antara Israel dan Hamas di Gaza.

Pensyarah Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Mohd Afandi Salleh berkata, rejim Zionis Israel kini berdepan situasi memalukan kononnya antara negara yang mempunyai sistem pertahanan terkuat dan tercanggih namun tidak dapat menangkis serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu.

Menurutnya, tentangan diberikan oleh pejuang Hamas kepada Israel sehingga mencabar kekuatan negara itu didorong menerusi semangat untuk melawan penjajahan dan penindasan yang terjadi sekian lama di Palestin.

"Isu sekarang timbul apabila ada segelintir rakyat Malaysia yang mempersoalkan mengapa Hamas serang Israel sedangkan negara itu memiliki kekuatan dari setiap ketenteraan.

"Kita kena sedar bahawa isu yang berlaku itu merupakan isu penjajahan yang menekan rakyat di Palestin. Golongan yang dijajah ini memang dari sudut ketenteraan tidak kuat namun mereka bersatu bersatu hati dalam usaha menghalau penjajah keluar dari tanah air mereka.

"Malah sistem pertahanan udara yang mereka banggakan iaitu Iron Dome sudah tidak kebal kerana serangan roket kini sudah sampai ke Tel Aviv. Hari ini kita dapat saksikan bagaimana penjajah itu dapat dihalau dan dicabar kerana kekuatan moral dan kekuatan spiritual yang dimiliki oleh setiap pejuang di Gaza bagi membebaskan Palestin" katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen di UniSZA di sini pada Ahad.

Gaza bukanlah asing buat Mohd Afandi kerana beliau pernah berkunjung tiga kali ke wilayah tersebut bagi menjalankan misi kemanusiaan antara tahun 2012 dan 2013.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir misi kemanusiaan yang disertai Mohd Apandi yang juga aktivis Humanitarian Care Malaysia (MyCare) ialah pada tahun 2018 menerusi flotila namun gagal kerana kapal yang dinaikinya ditahan oleh tentera Israel kira-kira 53 batu nautika dari pesisir pantai Gaza.

Beliau juga menyatakan tidak gentar untuk terus menjalankan misi kemanusiaan ke Gaza sekiranya diberi peluang.

Mengulas lanjut, Mohd Afandi menyatakan semangat pejuang di Gaza perlu dipuji kerana mereka berusaha memerdekakan kembali tanah air Palestin daripada cengkaman penjajahan dan pencerobohan tidak berperikemanusiaan.

Katanya, kejadian tersebut memberi kejutan besar kepada negara yang dikatakan antara mempunyai ketenteraan terkuat di dunia selain memiliki teknologi perang yang hebat.

"Ini amat mengejutkan Israel kerana tak pernah dalam sejarah apabila Israel perlu meminta bantuan dari Amerika Syarikat untuk hantar kapal perang malah sistem pertahanan udara jarak dekat Iron Dome di Israel yang dikatakan kebal pula berjaya ditembusi apabila serangan roket dari Gaza dapat memasuki negara penjajah berkenaan.

"Akibat kejadian itu, Israel mendapat malu besar dan menerima tekanan di negara mereka sendiri. Ini kerana rakyat Israel menyuruh mendesak Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu meletak jawatan sebab gagal jamin keselamatan mereka," jelasnya.

Sementara itu, Mohd Afandi menyatakan nilai moral rakyat Israel sudah hilang susulan ramai yang bertindak melarikan diri ke negara lain bagi mendapatkan perlindungan.

"Kebanyakan rakyat Israel mempunyai dua kerakyatan dan mereka ini merupakan penjajah. Penjajah ini tidak akan rasa bahawa tanah yang dirampas itu adalah tanah mereka.

"Itulah beza jiwa penjajah dan pemilik tanah sebenar iaitu rakyat Gaza yang kekal bertahan kerana mahu mempertahankan kedaulatan dan maruah tanah air mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Afandi menjelaskan masyarakat dunia juga dapat menyaksikan dan mengetahui sendiri fakta sebenar yang berlaku dalam serangan kali ini disebabkan pelbagai platform media sosial yang digunakan secara meluas.

"Sebelum ini masyarakat hanya disogokkan dengan berita-berita berat sebelah yang dikawal oleh media barat pro Israel namun kali ini dunia sudah tahu kebenaran bahawa rakyat Palestin menjadi mangsa kekejaman Israel.

"Saya berharap masyarakat dunia akan terus mengambil tahu fakta sebenar yang adil untuk mereka faham situasi yang sedang berlaku di Gaza ketika ini," ulasnya.

Mohd Afandi juga menyokong usaha dijalankan di peringkat sekolah dengan mengadakan Minggu Solidariti Palestin kerana memberi pendedahan dan penerangan sebenar mengenai sejarah pergolakan di Palestin agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan propaganda barat.

"Program sedemikian perlu diteruskan dari masa ke semasa kerana ia berkait dengan isu kemanusiaan.

"Ia perlu didedahkan supaya dapat beri kesedaran kepada pelajar terutama anak muda tentang perjuangan melawan penjajah," ulasnya.