Pesara kerajaan berputih mata RM299,373 lesap

Seorang pesara kerajaan berputih mata selepas kerugian RM299,373 apabila diperdaya satu skim pelaburan tidak wujud melalui Facebook baru-baru ini. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Ismail Dollah
Seorang pesara kerajaan berputih mata selepas kerugian RM299,373 apabila diperdaya satu skim pelaburan tidak wujud melalui Facebook baru-baru ini. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Ismail Dollah
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang pesara kerajaan berputih mata selepas kerugian RM299,373 apabila diperdaya satu skim pelaburan tidak wujud melalui Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 62 tahun itu membuat laporan mendakwa dirinya ditipu di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada Ahad.

"Menurut mangsa kejadian bermula pada April lalu apabila mangsa berurusan dengan seorang lelaki dengan menggunakan Facebook dan aplikasi WhatsApp.

"Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan bitcoin yang menggunakan nama Syarikat Bitcoin Yoamax," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa memulakan pelaburan sebanyak RM35,320 melalui tujuh transaksi akaun bank berbeza secara berperingkat.

Selain itu katanya, mangsa turut menyerahkan data peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan selain maklumat perbankan untuk urusan berkenaan serta memuat turun aplikasi Yoamax.

"Mangsa kemudiannya dihubungi kononnya telah mendapat keuntungan daripada pelaburan awal, namun diminta untuk memasukan wang berjumlah RM164,417 jika ingin mengeluarkan duit tersebut," katanya.

Menurut Ismail lagi, suspek memberitahu mangsa bahawa wang tersebut akan dikembalikan sekiranya mangsa tidak ada terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, penipuan tidak habis setakat itu apabila mangsa juga dikehendaki memasukan wang berjumlah RM99,636 atas tujuan pembayaran pertukaran wang asing.

"Bagaimana pun sehingga hari ini mangsa masih belum mendapat sebarang bayaran serta keuntungan yang dinyatakan sebelum membuat laporan polis semalam," ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa human penjara tidak kurang setahun dan maksima 10 tahun dan sebat serta denda, katanya.

"Polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan jika mempunyai keraguan," katanya.