Waspada skim pelaburan ‘Xfox Mix Biz’

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mana-mana individu yang menyertai skim pelaburan ‘Xfox Mix Biz’ diminta tampil kepada pihak polis untuk membantu siasatan bersabit kes penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, satu laporan polis diterima pihaknya daripada seorang pengadu yang mendakwa nama dan logo syarikatnya telah digunakan bagi mempromosikan skim pelaburan itu.

Menurutnya, pengadu menafikan pengetahuan mahu pun penglibatan syarikatnya dengan skim pelaburan tersebut.

“Berdasarkan semakan, tiada laporan diterima polis daripada mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan skim tersebut setakat ini.

"Dalam usaha membendung kegiatan sindiket penipuan sebegini, masyarakat diingatkan untuk tidak terpedaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan dalam masa yang singkat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, semakan terperinci dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan perlu sentiasa dilakukan sebelum mengambil keputusan menyertai skim pelaburan tertentu.

Katanya, dapatkan nasihat serta maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997, Portal Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan meragukan.

Artikel Berkaitan: