Minggu Solidariti Palestin usaha murni didik murid nilai manusiawi

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

Inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melaksanakan Minggu Solidariti Palestin di sekolah bagi mendidik murid tentang nilai manusiawi turut merangkumi hak asasi manusia, keamanan dan sifat ihsan dilihat satu usaha yang bagus.

Sokongan terhadap rakyat Palestin bukan hanya kerana agama semata-mata tetapi melibatkan soal kemanusiaan dan kesan terhadap peperangan yang berlaku di Palestin.

Biarpun ada pihak tidak setuju dengan pelaksanaan tersebut namun program itu telah berjaya dilaksanakan sejak 29 Oktober sehingga 3 November lalu.

Usaha berkenaan boleh menerapkan nilai kemanusiaan dan rasa simpati dalam diri murid tidak kira bangsa dan agama yang perlu dididik sejak kecil agar mereka mengetahui perkembangan dunia serta isu semasa.

Menurut kenyataan KPM, sepanjang pelaksanaan program tersebut, banyak aktiviti dijalankan dan disesuaikan mengikut panduan sedia ada, jenis sekolah serta kumpulan pelajar yang menyertainya.

Penganjuran aktiviti tersebut mampu memberikan gambaran kepada murid mengenai kejadian yang berlaku di Palestin bahawa keadaan di sana tidak seperti disangkakan.

Pada masa sama, usaha tersebut mampu memberikan pengalaman dan pengajaran kepada murid bagaimana perhimpunan aman dilaksanakan dalam negara.

KPM perlu menambah baik beberapa perkara melibatkan murid agar tidak menimbulkan prasangka atau masalah yang boleh melahirkan generasi tidak peka dengan isu kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, membawa atau menggunakan senjata mainan semasa program tersebut dijalankan di sekolah boleh menimbulkan perasaan takut kepada murid lain.

Jadi, perkara itu perlu ditegaskan kepada setiap sekolah bagi memastikan barang larangan dan tajam tidak dibawa ke sekolah jika program seperti ini dijalankan lagi.