#QuranHour for Gaza dan Maulid Akbar kumpul 3,000 peserta

Kehadiran peserta bagi kempen #QuranHour for Gaza dan Maulid Akbar pada Ahad. Gambar kecil: Muhammad Fahmi
Kehadiran peserta bagi kempen #QuranHour for Gaza dan Maulid Akbar pada Ahad. Gambar kecil: Muhammad Fahmi
A
A
A

SEPANG - #QuranHour for Gaza dan Maulid Akbar anjuran kumpulan permotoran, Syabab Bikers berjaya mengumpulkan hampir 3,000 peserta bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Pengasas dan Penasihat Syabab Bikers, Muhammad Fahmi Kamarul Zaman berkata, kempen dengan kerjasama Pertubuhan Penggerak Insani dan Two Wheel Brotherhood itu dilihat berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan muda terutamanya dalam bidang permotoran.

Ujarnya, ia menunjukkan semangat dan komitmen anak-anak muda untuk bersama serta menyatakan mesej sokongan kepada Palestin menerusi majlis-majlis agama.

"Pada saya itu adalah kekuatan yang perlu kita bina dalam diri anak muda. Itu juga antara pendekatan yang kami bawa dalam dakwah Syabab Bikers kepada permotoran, yang mana kita bawa anak muda ini untuk mendekati majlis-majlis Rasulullah.

"Supaya mudah-mudahan dalam diri mereka ini hadirnya mahabbah ertinya cinta kepada Rasulullah SAW.

"Sebab saya yakin bila mana dalam diri mereka ada rasa cinta pada Rasulullah SAW, pasti mereka berada dalam satu landasan yang betul," katanya.

Perarakan sempena #QuranHour for Gaza dan Maulid Akbar pada pagi Ahad.
Perarakan sempena #QuranHour for Gaza dan Maulid Akbar pada pagi Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual wartawan Sinar Harian di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir adalah Ketua Pengarah Eksekutif Institut Ulama Al-Juwaini, Ustaz Syamil Esa.

Kempen yang bertemakan Formula Kemenangan untuk Ummah berpandukan Surah Al-Insan itu dianjurkan sempena Kapcai Mega Gathering pada jam 10 pagi hingga 2 petang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai aktiviti dalam program tersebut, ujar Muhammad Fahmi, ia telah berjalan selama dua hari bermula pada Sabtu.

"Untuk hari ini kita bermula dengan perarakan Maulidul Rasul pada sebelah pagi dan tengah hari ini kita sambung dengan Maulid Akhbar.

"Kemudian kita juga adakan persembahan kesenian Islam serta cabutan bertuah, yang mana hadiahnya adalah pakej umrah berharga RM10,000," ujarnya.

Barisan ustaz jemputan yang mengetuai Maulid Akhbar pada Ahad.
Barisan ustaz jemputan yang mengetuai Maulid Akhbar pada Ahad.

Tambahnya, ini adalah kali pertama Syabab Bikers menganjurkan kempen seperti #QuranHour for Gaza dan Maulid Akbar di dalam program permotoran.

"Insya-ALLAH mesej-mesej yang dibawa oleh #QuranHour ini kita akan bawa ke program-program lain sebab #QuranHour memperjuangkan (pendekatan) baca, faham dan amal al-Quran.

"Mudah-mudahan ada lebih banyak lagi badan agensi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama dalam usaha membawa golongan muda ini ke jalan bermanfaat," jelasnya.

Syabab Bikers merupakan antara rakan sinergi dalam menjayakan Retromania Auto Show di MAEPS yang diadakan pada Sabtu hingga Ahad ini.