Himpunan Solidariti Untukmu Palestin di Kedah sasar 30,000 peserta

Musoddak ( dua dari kiri) menunjukkan poster sempena Himpunan Solidariti Untukmu Palestin peringkat negeri Kedah 12 November depan.
Musoddak ( dua dari kiri) menunjukkan poster sempena Himpunan Solidariti Untukmu Palestin peringkat negeri Kedah 12 November depan.
A
A
A

ALOR SETAR - Yayasan Kedah Sejahtera bersama Pejabat Menteri Besar Kedah, Yayasan Amal Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan akan menganjurkan Himpunan Solidariti Untukmu Palestin peringkat negeri Kedah pada 12 November ini.

Pengerusi Yayasan Kedah Sejahtera, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, himpunan itu akan diadakan di pekarangan Stadium Darul Aman dengan sasaran pengunjung seramai 30,000 orang.

Katanya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga dijangka hadir memeriahkan majlis.

"Pada himpunan itu juga kita akan membuat kutipan Tabung Palestin dan berharap ia dapat mencapai sasaran yang dikehendaki oleh Menteri Besar iaitu RM1 Juta," katanya ketika sidang media di Hotel Seri Malaysia di sini pada Ahad.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat.

Menurutnya, setakat ini kutipan terkumpul adalah sebanyak RM400,000 yang akan disampaikan kepada Pas Relief untuk disalurkan kepada Palestin.

"Kutipan ini sangat penting kerana fokus utama semua NGO ketika ini adalah untuk membantu membina semula hospital di sana yang telah dibom," katanya.

Ujar Musoddak, himpunan itu akan bermula pada jam 11 pagi hingga 11 malam dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk solat hajat dan himpunan motosikal anak-anak muda solidariti Palestin.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga ada slot ceramah oleh aktivis Nadir al- Nuri (Muhammad Nadir al- Nuri Kamaruzaman) dan wakil daripada Palestin," katanya.

Tambah Musoddak, penganjur turut mengalu-alukan kehadiran pengunjung luar dari Kedah termasuk negeri jiran untuk sama- sama bersolidariti.

"Himpunan solidariti ini tidak mengenal bangsa, agama ataupun parti politik, kita berkumpul untuk menunjukkan sokongan kita kepada saudara di sana," katanya.