Pegawai Maritim parah ditetak nelayan Vietnam

Seorang pegawai Maritim Terengganu parah selepas ditetak nelayan asing warga Vietnam ketika bertugas.
Seorang pegawai Maritim Terengganu parah selepas ditetak nelayan asing warga Vietnam ketika bertugas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu parah akibat ditetak nelayan asing warga Vietnam ketika anggota penguat kuasa itu melakukan pemeriksaan dalam bot dinaiki suspek.

Mangsa, Shakir Zufayri Azizul Rahman, 27, yang berpangkat Leftenan Muda Maritim parah pada bahagian kepala selepas ditetak menggunakan parang oleh salah seorang nelayan yang tiba-tiba bertindak agresif dalam kejadian pada Rabu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Khairul Anuar Abd Majid berkata, kejadian itu berlaku ketika pasukan berkenaan menjalankan operasi di kawasan perairan pada jarak kira-kira 148 batu nautika dari Kuala Terengganu sekitar jam 11.30 pagi.

"Pasukan Maritim menahan bot nelayan asing berkenaan setelah dikesan melakukan aktiviti tangkapan ikan secara haram di perairan negara.

"Ketika diperiksa, nelayan terbabit tiba-tiba bertindak kasar dan menyerang pegawai penguat kuasa," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Antara suspek yang ditahan kerana menyerang anggota penguat kuasa Maritim Malaysia.
Antara suspek yang ditahan kerana menyerang anggota penguat kuasa Maritim Malaysia.

Bagaimanapun, Khairul Anuar berkata, anggota penguat kuasa berjaya mengawal keadaan serta menahan 16 orang kru bot terbabit terdiri daripada seorang tekong dan 15 orang awak-awak daripada terus mencederakan anggota penguat kuasa lain.

"Tekong bot berkenaan turut cedera pada bahagian paha, seorang awak-awak cedera pada kepala, manakala dua lagi awak-awak cedera di bahagian lengan kiri, paha kiri serta paha kanan terkena tembakan," ujarnya.

Beliau memberitahu, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTAA), Kuantan, Pahang dengan menaiki helikopter Maritim Malaysia bagi mendapatkan rawatan.

Terdahulu, pegawai Maritim berkenaan bersama-sama 18 orang pegawai dan anggota Kapal Maritim (KM) Gemia menahan sebuah bot disyaki nelayan asing ketika sedang leka melakukan aktiviti tangkapan ikan di kawasan perairan berkenaan.

"Ketika siasatan dilakukan kesemua kru bot berkenaan didapati tidak memiliki permit dan lesen yang sah," katanya.

Ujar beliau, kesemua kru bot terbabit ditahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.