Sultan Perak zahir kebimbangan konflik di Palestin

Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67, di Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar.
-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67, di Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar. -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan terhadap konflik yang meragut ribuan nyawa di Palestin berikutan serangan berterusan rejim Zionis Israel.

Baginda bertitah, amat memilukan hati melihat penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin akibat perbuatan zalim Zionis yang tidak terfikir, tergamak dilakukan oleh makhluk bergelar manusia.

"Dunia sedang sakit dan dibimbangkan berkemungkinan menjadi tenat, jika krisis persaingan dan pergolakan terus berlaku, sedangkan keganasan serta malapetaka kemanusiaan gagal dibendung.

"Sikap yang mementingkan diri dan sikap yang merasakan diri sendiri sahaja yang betul akan membawa kepada kemusnahan. Dunia juga sedang menghadapi masalah bekalan perkhidmatan dan barangan terutama bahan makanan yang semakin sukar diperoleh, menyebabkan kos sara hidup terus meningkat, mengakibatkan rakyat di serata dunia menanggung kesusahan," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-67 di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.

Menurut baginda, dunia yang tenat dilanda krisis perlu diubati dengan suara perdamaian.

"Bermuafakat lebih baik daripada bersengketa, bermesyuarah lebih baik daripada bertelagah, dan bermaaf-maafan lebih baik daripada berdendam.

"Dunia ini perlu dilimpahi dengan cahaya kedamaian yang menjamin harapan. Perdamaian akan hanya wujud apabila manusia memilih untuk memahami antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

"Suara kebenaran di tengah-tengah arus yang memilih untuk berkonflik dan usaha perdamaian dalam dunia yang memilih untuk berperang memerlukan kekuatan, ketabahan dan keberanian luar biasa mengatasi kekuatan, ketabahan dan keberanian seorang soldadu di medan perang," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, memahami denyut nadi rakyat jelata, keupayaan mentakrif pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh dunia dan keupayaan mengenal pasti kebenaran merupakan satu tanggungjawab berat.

"Tanggungjawab berat ini dapat diringankan dengan adanya semangat nasihat menasihati, bantu-membantu dan saling memelihara nama baik dan kemuliaan takhta.

"Demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat, Menteri Besar berserta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah menjunjung setia kepercayaan Beta dan tidak mengecewakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

"Harapan rakyat yang mahukan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang, berintegiriti, bersih rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa hendaklah direalisasikan secara bersama, titah baginda.

Baginda turut menyeru kepada pihak swasta, badan sukarela, badan kebajikan, pertubuhan belia, badan sukan dan rakyat agar saling bekerjasama memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Perak.