Pelari pecut negara, Azeem Fahmi terima PJK

Muhammad Azeem (Gambar kecil: Dr Zulkapli, Wan Zahidi)
Muhammad Azeem (Gambar kecil: Dr Zulkapli, Wan Zahidi)
A
A
A

IPOH - Jaguh pecut negara kelahiran Teluk Intan, Muhammad Azeem Fahmi tersenarai sebagai penerima pingat negeri Perak sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Jumaat.

Muhammad Azeem, 19, dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) atas pencapaian cemerlang dalam arena sukan termasuk memenangi pingat gangsa bagi acara 100 meter lelaki di Sukan Asia 2022 yang berlangsung di Hangzhou pada 23 September hingga 8 Oktober lalu.

Turut tersenarai menerima pingat PJK, atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy, 25 yang memperoleh gangsa acara 400 meter dan 4x100 meter serta Muhd Shafiq Puteh, 28, merangkul pingat gangsa acara terjun tiga meter papan anjal seirama.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat-pingat tahun ini menyaksikan Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mendahului senarai 238 penerima.

Wan Zahidi, 82, dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima gelaran Datuk Seri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menerima Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Penerima tunggal Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada Pegawai Kewangan Negeri Perak, Mohd Zaki Mahyudin.

Artikel Berkaitan:

Turut menerima gelaran Datuk ialah Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed; Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak, Ir Hamdan Ali; Pengarah Pendidikan negeri, Mohamad Fauzi Mahson dan Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid yang dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota (DPMP).

Kurniaan DPMP kepada 13 penerima itu turut diberikan kepada Setiausaha Bahagian Kementerian Kewangan, Nor Eni Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Yahanis Yahya; Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Presiden Persatuan Hoki Perak Mohd Saiyuti Abd Samat.

Penerima lain, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Muzafar Shah Mustafa; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Eksekutif CST Auto Group of Companies, P Chandrasekaran; bekas Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein dan bekas Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, lima pegawai tinggi pasukan keselamatan negara dianugerahkan Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan.

Katanya, mereka yang tersenarai, Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Dr Zambri Mohamad Rabab; Ketua Perhubungan Antarabangsa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Senior Asisten Komisioner R Suparamaniam dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan ATM, Brigedier Jeneral Dr Leong Weng Foon.

"Dua lagi penerima ialah Inspektor Jeneral Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Mohd Fadzli Kamal Mohd Mahaldin dan Panglima Dua Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Asri Shukor," katanya dalam sidang akhbar di Laman Seri Ridzuan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Sultan Perak turut memberi perkenan mengurniakan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada 14 penerima, Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 29 penerima, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 21 penerima.

Ujarnya, penerima lain, Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 43 penerima, Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kepada 60 penerima, PJK kepada 33 penerima dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) kepada 15 penerima.

"Istiadat penganugerahan akan diadakan dua sesi yang mana sesi pertama melibatkan penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran pada Ahad ini.

"Bagi Istiadat sesi kedua pula dilangsungkan pada 18 November depan. Kedua-dua sesi diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar," katanya.