Konflik Gaza: PBSM rayu hulur bantuan kepada PRCS

Al-Sultan Abdullah berkenan melancarkan koleksi Setem Sempena Ulang Tahun ke-75 PBSM.
Al-Sultan Abdullah berkenan melancarkan koleksi Setem Sempena Ulang Tahun ke-75 PBSM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) melancarkan rayuan bagi membantu Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) sebagai usaha menyediakan sokongan kemanusiaan di bumi berdarah itu.

Pengerusi Kebangsaannya, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, ia antara langkah segera yang diambil susulan tercetusnya perang antara Palestin dan Israel sejak 7 Oktober lalu.

Menurutnya, persatuan yang diterajuinya juga sedang menguruskan pemindahan RM200,000 kepada PRCS.

Sumbangan ini direalisasikan susulan kemurahan hati rakyat Malaysia dan sokongan kerajaan.

"Kita sedang menyaksikan ketidakpatuhan terhadap Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Konvensyen Geneva dan peraturan serta pengendalian peperangan dan menggesa anda agar terus menyokong usaha kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam amal Sempena Ulang Tahun ke-75 PBSM di salah sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Menerusi majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan melancarkan koleksi Setem Sempena Ulang Tahun ke-75 PBSM.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tunku Puteri Intan Safinaz turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang kepada persatuan itu.

Ujarnya, melalui sumbangan yang diberikan tersebut membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan dihulurkan kepada yang memerlukan.