Kerjasama UMK, swasta bangunkan Kelantan

Tengku Muhammad Fa-iz Petra membacakan titah ucapan sempena Majlis Istiadat Konvokesyen UMK Ke-18 pada Sabtu.
Tengku Muhammad Fa-iz Petra membacakan titah ucapan sempena Majlis Istiadat Konvokesyen UMK Ke-18 pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan pihak swasta boleh membangunkan negeri Kelantan melalui sumber yang ada di negeri ini.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra bertitah, universiti itu mempunyai kepakaran yang mampu memberi manfaat kepada Kelantan.

Baginda bertitah, kerajaan negeri mempunyai sumber manakala pihak swasta boleh menyediakan dana pelaburan.

"Sekiranya ketiga-tiga pihak berupaya memaksimumkan potensi berpasukan, ia sekali gus dapat memberikan manfaat yang signifikan kepada kesejahteraan rakyat," titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen Ke-18 UMK di sini pada Sabtu.

Titah baginda, UMK sebagai sebuah universiti keusahawanan secara tidak langsung turut menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.

Baginda juga berpendapat bahawa sumber sedia ada perlu dioptimumkan penggunaannya.

"Sebagai contoh kita boleh membangunkan satu kawasan di UMK Bachok sebagai hab perniagaan.

"Pembangunan itu bukan sahaja akan menyumbang kepada penjanaan pendapatan universiti malah membantu menyerlahkan lagi ekonomi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baginda yang juga Pro Canselor UMK menyarankan ahli korporat dalam pelbagai bidang menjadikan agenda wakaf sebagai wadah menyumbang semula kepada masyarakat.

Graduan UMK meraikan kejayaan mereka sempena Istiadat Konvokesyen Ke-18 UMK pada Sabtu.
Graduan UMK meraikan kejayaan mereka sempena Istiadat Konvokesyen Ke-18 UMK pada Sabtu.

Sementara itu, Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Razli Che Razak ketika berucap memberitahu, data kebolehpasaran graduan UMK sehingga 24 Februari 2023 menunjukkan pencapaian 92.5 peratus manakala data Usahawan Graduan (Graduate Entrepreneur) pula pada kadar 10.9 peratus.

Menurut beliau, pencapaian cemerlang itu mengatasi sasaran yang ditetapkan iaitu masing-masing pada 91 dan 10 peratus.

Tambahnya, UMK berada pada landasan yang jelas dan tepat dalam usaha mencapai misi sebagai Universiti Keusahawanan Terunggul ASEAN pada 2026 dan Asia pada 2030.

"UMK turut melakar sejarah apabila tersenarai sebagai universiti muda terbaik di dunia pada kedudukan ke 501 hingga 601 berdasarkan penarafan Times Higher Education (THE) Young Universiti Ranking 2023.

"Melalui pencapaian itu, UMK kini berada sebaris universiti bertaraf dunia di benua Asia," katanya.

Dalam pada itu kata beliau lagi, UMK sudah melahirkan seramai 17,824 graduan sejak konvokesyen kali pertama pada tahun 2011.

Seramai 2,839 graduan menerima ijazah sempena konvokesyen berkenaan termasuk 25 graduan ijazah doktor falsafah, 75 graduan ijazah sarjana dan 2,739 graduan ijazah sarjana muda.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!