Suhaili terima keputusan Bersatu gantikan beliau dengan Radzi

Suhaili Abdul Rahman
Suhaili Abdul Rahman
A
A
A

LABUAN - Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman menerima keputusan pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menggantikan beliau dengan naib presiden parti itu, Datuk Radzi Jidin sebagai Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan dan Labuan.

Suhaili berkata, beliau tetap ahli Bersatu walaupun berlaku perubahan kepimpinan dan percaya keputusan itu tidak akan memberi kesan buruk kepada bahagian berkenaan.

"Masa depan bahagian ini di luar kawalan saya namun ia adalah fakta bahawa penubuhan Bersatu Labuan adalah hasil usaha saya dan sokongan padu penyokong tempatan.

"Dan keputusan melantik pemimpin baharu bagi Wilayah Persekutuan dan Labuan merupakan hak kepimpinan parti," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Perubahan kepimpinan itu diumumkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Khamis.

Suhaili dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid kini dalam prosiding tatatertib parti selepas mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lepas.

Suhaili turut menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Bahagian Bersatu Labuan dalam kenyataan pada 1 November lepas memaklumkan sokongan terhadap keputusan Suhaili itu demi pembangunan dan kemajuan Labuan. - Bernama

Artikel Berkaitan: