58 NGO berkumpul serah memorandum kepada Kedutaan China

Mohd Ashraf pada sidang media ketika berkumpul di Pejabat Kedutaaan China di Malaysia di Kuala Lumpur hari ini untuk menyerahkan memorandum.
Mohd Ashraf pada sidang media ketika berkumpul di Pejabat Kedutaaan China di Malaysia di Kuala Lumpur hari ini untuk menyerahkan memorandum.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekumpulan 58 badan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di Pejabat Kedutaan Besar China di Malaysia di sini semalam untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan China berhubung nasib menimpa etnik Uyghur.

Ketua Sekretariat Solidariti Bersama Uyghur, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, pihaknya mahu menyerahkan memorandum memandangkan keadaan menghimpit etnik minoriti itu semakin meruncing.

"Dalam memorandum ini, kita mengutuk tindakan penahanan etnik Uyghur di kem-kem tahanan di mana mereka berada didoktrinasikan menerusi propaganda ideologi tertentu dan dinafikan hak untuk mengamalkan kepercayaan Islam," katanya pada sidang akhbar di pekarangan pejabat kedutaan berkenaan hari ini.

Mohd Ashraf bagaimanapun berkata, pihaknya hampa kerana pihak kedutaan enggan menerima memorandum berkenaan.

"Mereka tidak layan untuk kita hantar memorandum, maka kita tidak serahkan. Kita tidak mahu memorandum kita ini dibakul sampahkan.

"Kita datang atas hasrat diplomasi, kita bukan datang ingin menggesa, marah atau hendak ajak perang," katanya.

Mohd Ashraf berkata, memorandum itu akan dihantar ke ​​Duta China ke Malaysia, Bai Tian; Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Dr Yousef Ahmed Al-Othaimeen.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali dan beberapa NGO lain antaranya Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Kelab Generasi Patriot Malaysia.

Artikel Berkaitan: