Jom sertai #QuranHour for Gaza di MAEPS esok

Muhammad Fahmi (dua dari kiri) bersama Marhaini (tengah) dan tetamu lain menunjukkan plakad tanda sokongan #QuranHour for Gaza.
Muhammad Fahmi (dua dari kiri) bersama Marhaini (tengah) dan tetamu lain menunjukkan plakad tanda sokongan #QuranHour for Gaza.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan permotoran, Syabab Bikers julung kali menganjurkan #QuranHour for Gaza dan Maulid Akbar sempena Kapcai Mega Gathering di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang bermula jam 10 pagi hingga 2 petang pada Ahad ini.

Pengasas dan Penasihatnya, Muhammad Fahmi Kamarul Zaman berkata, program kerohanian tersebut bertujuan menyantuni golongan anak muda untuk dekati dakwah dalam bidang permotoran.

“Syabab Bikers menyahut kempen #QuranHour for Gaza yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan menyasarkan golongan muda agar tidak ekstrem dalam menyokong perjuangan Palestin.

“Harapan saya kepada anak muda bukan sekadar memberi sokongan, tetapi lebih terarah melalui program berinteraktif dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal. Kami membawa misi Surah Al-Insan sebagai panduan memanusiakan manusia.

Muhammad Fahmi
Muhammad Fahmi

“Pihak kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk menyertai program tersebut yang membawa pengisian Formula Kemenangan Ummah berpandukan Surah Al-Insan, dan tujuh Surah Musabbihat.

"Semoga peserta dapat memanfaatkan ilmu yang dikongsikan dan menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan dalam kehidupan mereka.

Sesi #QuranHour for Gaza dibimbing oleh beliau sendiri selepas mengacarakan Maulid Akbar sempena Maulidur Rasul tahun ini. Dijangkakan seramai 5,000 penunggang motosikal menyertai program tersebut.

Artikel Berkaitan:

Syabab Bikers merupakan antara rakan sinergi dalam menjayakan Retromania Auto Show di MAEPs yang diadakan pada 4 hingga 5 November ini.

Orang ramai dijemput hadir ke pameran permotoran seperti motosikal dan kereta, jualan alat ganti retro serta aksesori retro.

Menurut Muhammad Fahmi, Syabab Bikers yang ditubuhkan pada tahun 2019 aktif menjalankan aktiviti ‘Ride to Jannah, Masuk Syurga Sekeluarga’.

Katanya, peserta menunggang motosikal secara berkonvoi ke madrasah-madrasah untuk mendapat pengisian rohani, di samping menyampaikan sumbangan infak.

“Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman Facebook Syabah Bikers,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, pihak WUIF mengalu-alukan mana-mana pihak seperti Syabab Bikers untuk menggerakkan kempen #QuranHour for Gaza bertemakan Formula Kemenangan untuk Ummah berpandukan Surah Al-Insan.

“Syabab Bikers disertai oleh ramai anak muda yang berminat dalam bidang permotoran.

"Golongan anak muda ini boleh menjadi aset ummah dan membawa panji al-Quran.

“Mereka yang datang dari pelbagai latar belakang tidak boleh ditinggalkan, sebaliknya perlu dibimbing dengan membina kerangka fikir dan karakter diri berpandukan nilai-nilai al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, anak muda perlu segera mengejar masa untuk bangkit serta membina legasi diri, keluarga, organisasi dan negara.

“#QuranHour for Gaza adalah cetusan, doa, kebersamaan untuk beriltizam serta berikrar agar kita bersatu dan kembali meneguhkan diri dengan ilmu, panduan al-Quran untuk kemenangan, sains dan teknologi, solat bagi peneguhan karakter serta infak sebagai tanda kesatuan ummah seluruh dunia.

"Inilah cara hidup Muslim,” jelasnya.