SMK Dato' Harun, SMK Meru berentap final Piala Datuk Mokhtar Dahari

Pasukan SMK Dato' Harun.
Pasukan SMK Dato' Harun.
A
A
A

JARINGAN setiap babak Mohd Haikal Hakimi Fitril Hazlin (m-32) dan Mohammad Aiman Mohd Jamjur (m-57) membolehkan finalis musim lalu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Harun, Tanjung Karang mara ke perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari 2023 Bawah 18 Tahun (B-18) pada Isnin.

Pemenang Piala Sumbangsih tersebut menyambar slot final selepas menewaskan SMK Seksyen 11, Shah Alam, 2-0 dalam aksi separuh akhir di padang sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28, Shah Alam.

Kemenangan itu menyaksikan finalis musim lalu tersebut berpeluang menebus kekecewaan edisi 2022 selepas dijinakkan SMK Shah Alam, Shah Alam menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 dalam perlawanan akhir di di Stadium Mini KPM SMK USJ 23, Subang Jaya, pada 5 November lalu.

"Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH SWT yang mempermudahkan urusan pasukan SMK Dato' Harun semalam.

"Para pemain juga melaksanakan segala perancangan taktikal pasukan dengan sempurna dalam perlawanan ini," ujar penolong pengendali Mohd Zaki Kahar kepada Sukan Sinar.

Menanti SMK Dato' Harun di perlawanan akhir ialah SMK Meru, Klang yang mengesahkan kemaraan selepas menewaskan SMK Jalan Kebun, Klang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 70 minit permainan.

Pasukan SMK Meru.
Pasukan SMK Meru.

Sementara itu, penolong pengendali pasukan SMK Meru, Mat Hassan Mat Rofi mengakui perlawanan agak sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada minit-minit awal permainan.

Artikel Berkaitan:

Malah, Mat Hassan mengakui para pemain SMK Meru sukar untuk membina serangan dengan tekanan awal dari pasukan lawan.

"Tekanan agak kendur pada penghujung masa namun kami gagal untuk menyempurnakan beberapa peluang yang terhidang menyebabkan keputusan terikat tanpa jaringan hingga wisel penamat.

"Alhamdulillah, dengan pengalaman mengharungi dua perlawanan sebelum ini yang ditentukan menerusi penentuan penalti sepanjang kejohanan ini.

"Ia memberikan keyakinan dan ketenangan kepada para pemain untuk melaksanakan sepakan penalti dengan baik.

"Bagi saya penjaga gawang kami wira untuk perlawanan separuh akhir ini dengan beberapa tugasan menyelamat gawang dan berjaya menghalang dua sepakan penalti seterusnya membawa pasukan kami ke pentas final," katanya kepada Sukan Sinar.

Perlawanan akhir SMK Dato' Harun menentang SMK Meru dijadualkan berlangsung di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 6 November ini.

Sementara perlawanan penentuan tempat ketiga keempat menemukan SMK Seksyen 11 menentang SMK Jalan Kebun bakal berlangsung di padang sintetik MBSA, Seksyen 19, Shah Alam juga pada 6 November.

Juara Piala Datuk Mokhtar Dahari 2023 (B18) akan membawa pulang hadiah RM10,000, naib juara RM8,000, ketiga, RM6, 000 diikuti keempat RM4,000.

Sebagai rekod, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) merupakan penaja utama kejuaraan manakala Sinar Harian bertindak sebagai akhbar rasmi.

No Image Caption

PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI 2023 (B-18)

6 NOVEMBER (ISNIN)

Perlawanan Akhir

SMK Dato' Harun lwn SMK Meru

(Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya, jam 8 malam)

Tempat Ketiga Keempat

SMK Seksyen 11 lwn SMK Jalan Kebun

(Padang Sintetik MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, 2.30 petang)