1,164 PPS digazet di Selangor untuk mangsa bencana

APM Selangor mengadakan Program Latihan Bot Ringan di Port Dickson, Negeri Sembilan selama tiga hari bermula 1 November bagi persediaan menghadapi monsun timur laut.
APM Selangor mengadakan Program Latihan Bot Ringan di Port Dickson, Negeri Sembilan selama tiga hari bermula 1 November bagi persediaan menghadapi monsun timur laut.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 1,164 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Selangor telah digazetkan untuk menempatkan mangsa bencana.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Ghazali Abd Rahman berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia 24 jam sehari bagi memastikan keselamatan orang awam dipelihara serta memastikan bencana yang berlaku dapat dikawal dengan membuat pemantauan berkala.

Menurutnya, terdapat 97 lokasi panas dan lebih 300 kawasan berisiko di seluruh Selangor.

"Sebanyak 2,320 unit khemah C-tent di dalam pegangan APM Selangor bagi menempatkan mangsa bencana dalam satu masa di semua 1,164 PPS seluruh Selangor yang telah digazetkan selain 1,500 kit makanan telah diagihkan ke Pejabat Daerah Pertahanan Awam yang diterima daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Pelbagai aset dan logistik dalam siap sedia bagi menghadapi apa-apa kemungkinan seperti bencana, kemalangan atau pun bantuan kemanusiaan," katanya dalam kenyataan selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Latihan Bot Ringan Sempena Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut APM Negeri Selangor di Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Program terbabit bermula dari 1 hingga 3 November melibatkan hampir 40 peserta terdiri daripada pegawai, kakitangan sokongan serta anggota sukarelawan di seluruh Selangor.

Mengulas lanjut, antara aset yang sedia digerakkan ialah 11 buah ambulans, kenderaan pacuan empat roda (14), bot ringan pelbagai jenis (40) serta 350 unit jaket keselamatan.

Tambah Ghazali, hampir 1,000 kekuatan sentiasa bersiap sedia bertugas bukan hanya persediaan musim tengkujuh, malah apa apa sahaja kejadian kemalangan, bencana atau pun khidmat kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

"Selain daripada persiapan menghadapi sebarang bencana yang akan berlaku di Selangor, pengurusan tertinggi juga turut mengatur gerak Pasukan Respon Bencana Sokongan (Paras) yang akan dikerahkan untuk membantu negeri-negeri lain khususnya di Pantai Timur," ujarnya.