Penyasaran semula subsidi diesel hanya di Semenanjung - PM

Anwar ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyasaran semula subsidi diesel secara berfasa hanya akan dilaksanakan di Semenanjung, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penyasaran semula subsidi berkenaan tidak melibatkan Sabah dan Sarawak kerana diesel digunakan secara menyeluruh di dua-dua negeri berkenaan.

"(Penyasaran) subsidi diesel digunakan hanya di Semenanjung, sebab di Sabah Sarawak diesel digunakan secara menyeluruh jadi kalau nak laksanakan kena kaji dampaknya begitu rupa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.

Anwar berkata, kos keseluruhan subsidi kini berjumlah RM81 bilion yang turut dinikmati oleh warga asing serta golongan maha kaya.

"Tetapi nelayan yang menerima subsidi diesel itu diteruskan juga (RM1.65 seliter), kenderaan diesel dalam ketegori pengangkutan awam termasuk van dan bas sekolah juga kekal RM1.88 seliter.

"Jadi saya harap dapat menerima penyasaran semula diesel ini kerana ia boleh mengurangkan beban kerajaan,” katanya.

Harga diesel bersubsidi ketika ini adalah RM2.15 seliter berbanding harga pasaran kini yang mencecah RM3.78 seliter. - Bernama

Artikel Berkaitan: