Rayuan haji: Mengapa B40, M40 perlu bayar penuh?

Mohd Na'im menyantuni jemaah haji ketika sesi ramah mesra di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Makkah, Abraj Al-Janadriyah pada Rabu.
Mohd Na'im menyantuni jemaah haji ketika sesi ramah mesra di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Makkah, Abraj Al-Janadriyah pada Rabu.
A
A
A

MAKKAH - Jemaah haji B40 dan M40 yang dapat ke Tanah Suci pada tahun ini selepas rayuan mereka diterima perlu membayar jumlah penuh RM30,850 kerana tidak berada dalam giliran untuk tunai haji pada tahun semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, berdasarkan giliran tahun ini keutamaan diberikan kepada mereka yang terpilih untuk menunaikan haji pada 2020, 2021 dan 2022 yang tertangguh akibat Covid-19.

"Apabila ada kekosongan kerana jemaah lain tolak atas sebab tertentu, kita buka giliran kepada mereka yang berada di luar giliran. Giliran mereka ini mungkin pada 2025, 2026 atau 2027 dan layak menerima bantuan kewangan haji pada tahun-tahun itu.

"Tetapi apabila mereka ini membuat rayuan dan berjaya, polisi rayuan ialah mereka semestinya ada kemampuan atau istito'ah jadi perlu bayar penuh," katanya ketika sesi ramah mesra bersama jemaah haji di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Makkah, Abraj Al-Janadriyah di sini pada Rabu.

Mohd Na'im berucap pada majlis ramah mesra di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Makkah, Abraj Al-Janadriyah pada Rabu.
Mohd Na'im berucap pada majlis ramah mesra di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Makkah, Abraj Al-Janadriyah pada Rabu.

Beliau menjawab soalan seorang jemaah haji wanita yang bertanyakan mengapa jemaah B40 dan M40 yang terpilih menunaikan haji selepas membuat rayuan perlu menanggung kos seperti golongan T20.

Bayaran untuk jemaah haji Muassasah bagi kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji tahun ini kekal pada kadar RM10,980 seorang, RM15,980 bagi M40 dan kumpulan T20 perlu membuat bayaran penuh.

Dalam sidang media selepas sesi ramah mesra tersebut, Mohd Na'im berkata, terdapat 60,000 pendeposit Tabung Haji (TH) yang sedang menunggu giliran dan sanggup membayar jumlah penuh kos haji tetapi tidak terpilih pada tahun ini.

"Bayangkan kalau mereka yang merayu tahun ini dapat potong giliran, dapat pula bantuan kewangan, sedangkan pendeposit lain berkemampuan dan bersetuju untuk membayar penuh RM30,850 tetapi tidak berjaya dalam rayuan.

"Terdapat juga 69 jemaah haji B40 dan M40 yang menerima tawaran menunaikan haji pada tahun ini menolak bantuan kewangan kerana sedar bahawa istito'ah adalah asas wajib dalam menunaikan haji," katanya.

Mohd Na'im dalam pada itu berkata, seramai 31,600 jemaah haji Malaysia telah berada di Makkah dengan penerbangan terakhir membawa 357 jemaah telah tiba di Jeddah pada Rabu malam.

Mohd Na'im melawat seorang jemaah yang dimasukkan ke Pusat Rawatan TH, di Makkah.
Mohd Na'im melawat seorang jemaah yang dimasukkan ke Pusat Rawatan TH, di Makkah.

Ketika ini katanya, 56 jemaah haji dirawat di Pusat Rawatan TH dan lima orang di Hospital Arab Saudi dan semuanya dalam keadaan stabil.

Jumlah jemaah yang meninggal dunia setakat ini adalah seramai dua orang dengan kematian terbaharu pada Isnin melibatkan jemaah wanita berusia 75 tahun dari Selangor disebabkan jangkitan kuman dalam paru-paru.