Jemaah haji mampu serap kemerosotan ringgit berbanding riyal

Syed Saleh menunjukkan wang dan resit pengeluaran sebagai simbolik perasmian operasi ATM di bangunan penginapan jemaah haji.
Syed Saleh menunjukkan wang dan resit pengeluaran sebagai simbolik perasmian operasi ATM di bangunan penginapan jemaah haji.
A
A
A

MAKKAH - Berdasarkan kadar tukaran semasa, nilai Ringgit Malaysia dengan mata wang Riyal ialah RM1 bersamaan 0.8127 Riyal dan merosot jika dibandingkan pada 2018 iaitu RM1=0.9413 Riyal.

Namun bagi jemaah haji Malaysia, situasi tersebut tidak memberikan kesan terlalu besar kepada perbelanjaan mereka kerana rata-ratanya sudah bersedia dari sudut kewangan untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Seorang jemaah haji dari Tanah Merah, Kelantan, Azman Baharuddin, 51, berkata, ketika ini dia tidak menghadapi kesulitan dalam perbelanjaan kerana semuanya sudah dirancang dari tanah air.

“Disebabkan di sini bumi yang penuh barokah saya berasa cukup dengan wang yang ada dan tidak berasa ‘sayangkan’ duit untuk berbelanja membeli keperluan dan cenderahati untuk dibawa balik.

“Lagipun membeli-belah di sini kita boleh tawar-menawar yang mana peniaga pun baik dan mesra dengan pembeli dari Malaysia,” katanya.

Seorang jemaah dari Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Nizam Saupi, 57, berkata, sebagai jemaah haji kebanyakannya sudah bersedia aspek kewangan yang dikumpul sejak sekian lama.

“Kita sudah tahu apabila menunaikan haji ada perbelanjaan tertentu jadi saya sudah bersedia dan kena terima kerana itu di luar kawalan. Tetapi jika nilai mata wang kita meningkat lagi baik,” katanya.

Dari kiri: Azman, Ahmad Nizam, dan Misnadia
Dari kiri: Azman, Ahmad Nizam, dan Misnadia



Bagi Misnadia Mohd Misbah, 44, dari Batu Pahat Johor, dalam keadaan ketika ini jemaah perlu berhemah dalam berbelanja dan memilih kedai yang dapat menawarkan harga berpatutan.

“Penyediaan makan tengah hari dan malam oleh Tabung Haji banyak membantu jemaah dari segi perbelanjaan kerana kita hanya perlu keluarkan wang untuk sarapan pagi sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kadar semasa ringgit berbanding riyal tidak memberi kesan negatif kepada jemaah haji.

“Kita tidak menerima sebarang aduan daripada jemaah haji yang menghadapi masalah kewangan hingga menjejaskan perbelanjaan mereka di sini.

“Dari segi jumlah barangan yang dibeli dan dihantar pulang ke Malaysia melalui khidmat pos disediakan TH juga menunjukkan tiada perbezaan dengan tahun-tahun sebelumnya,” katanya katanya pada sidang media mingguan di Ibu Pejabat TH Makkah di Abraj Janadriyah.

Sebelum itu pada sebelah petangnya, beliau melancarkan operasi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Alinma Bank di bangunan penginapan jemaah di sini.

Jemaah haji beratur untuk mengeluarkan wang dari ATM.
Jemaah haji beratur untuk mengeluarkan wang dari ATM.

Kata Syed Saleh, pemasangan ATM di bangunan penginapan adalah satu sejarah buat TH kerana belum pernah Saudi Central Bank membenarkan penyediaan khidmat itu di penginapan jemaah haji.

“Dengan adanya ATM di sini, khidmat dan kebajikan terhadap jemaah haji Malaysia makin bertambah kerana seperti semua sedia maklum setiap pengeluaran wang tidak dikenakan sebarang caj transaksi oleh Bank Islam.

“Jemaah juga tidak perlu berjalan jauh untuk lebih 1 kilometer untuk mengeluarkan wang selepas ini kerana ATM sudah ada di kawasan penginapan jemaah,” katanya.

Tambah beliau, selepas ini apabila perkhidmatan ini berjalan lancar kemungkinan akan ditambah ke penginapan lain yang menjadi lokasi penempatan jemaah haji Malaysia.