Perang Palestin-Israel tak jejaskan persiapan haji 2024

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang persiapan luar biasa bagi pengurusan operasi haji Malaysia musim hadapan adalah tertakluk kepada panduan dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta Kementerian Luar Negeri, sekiranya perang antara Palestin-Israel masih berterusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, buat masa ini konflik tersebut tidak menjejaskan persiapan dilakukan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurutnya, segala persiapan dibuat seperti biasa mengambil kira jaminan keselamatan diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada jemaah haji tahun 1445 Hijrah.

"Tapi dalam masa sama kita tertakluk kepada panduan, nasihat daripada Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Haji (dan Umrah) Arab Saudi.

"Mereka akan menentukan. Apa sahaja arahan dan panduan serta nasihat yang akan diberikan, akan dipatuhi TH.

"Sudah tentu Kerajaan Arab Saudi telah memikirkan isu keselamatan ini dan menjadi keutamaan untuk jamin keselamatan bakal jemaah-jemaah haji," katanya ditemui selepas Majlis Penghargaan TH kepada Jemaah Haji 1444H/2023M di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menolak kemungkinan berlaku pengurangan kuota jemaah haji disebabkan konflik di Gaza.

Katanya, permohonan bagi kuota tambahan jemaah haji Malaysia musim hadapan telah dilakukan dan masih menunggu jawapan daripada Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

"Segala persiapan yang dibuat TH mengambil kira kuota seramai 31,600 bakal jemaah haji yang akan berangkat melakukan ibadah itu nanti," katanya.

Beliau juga menjelaskan, jemaah haji dilindungi insurans disediakan TH dan Kerajaan Arab Saudi sebaik sahaja memperoleh visa.

"Kita harap dengan jaminan ini bakal jemaah-jemaah haji tenang untuk lakukan ibadah haji tahun depan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!