Harga ayam diapungkan

Ayam segar dijual pada harga RM9.40 sekilogram ketika tinjauan di pasar basah sekitar Kuala Lumpur hari ini.
Ayam segar dijual pada harga RM9.40 sekilogram ketika tinjauan di pasar basah sekitar Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

SAMA-SAMALAH kita tengok kesan tindakan kerajaan untuk tamatkan pemberian subsidi dan penetapan harga ayam mulai semalam.

Ini bukan langkah mudah. Tentulah Kementerian di bawah Tuk Seri Mat Sabu dah kaji semasak-masaknya tindakan itu.

Tindakan apungkan harga ayam ikut permintaan pasaran ada risiko yang tersendiri.

Macam-macam boleh berlaku. Ayam boleh hilang dari pasaran.

Ada juga tindakan tamak sesetengah pihak untuk pastikan harga ayam melambung tinggi.

Nampaknya kerajaan bersungguh-sungguh untuk buat reformasi subsidi.

Dalam tahun ini dijangka kos subsidi cecah RM80 bilion.

Untuk subsidi ayam dan telur sahaja jumlahnya adalah RM3.8 bilion.

Artikel Berkaitan:

Tak tertanggung beban itu pada kerajaan.

Kerajaan dah mulakan dengan menyasarkan subsidi elektrik.

Awang nak puji Mat Sabu yang libatkan industri dari peringkat awal dalam soal ini.

Nampaknya pemain industri berjanji akan beri kerjasama.

Adalah dilaporkan bahawa Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) jangkakan harga ayam akan tetap di bawah RM9.40 sekilogram.

Awang harap rakyat juga faham mengapa tindakan ini diambil.

Memang subsidi perlu tapi beban subsidi yang melampau akan jejaskan kos perbelanjaan kerajaan yang patut digunakan untuk pembangunan rakyat.

Macam main pondok-pondok!

AWANG anggap langkah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) nak arahkan penganjur konsert bersedia dengan kill switch macam langkah budak-budak.

Macam main pondok-pondok pula jadinya. Ada masa switch on, bila tak suka switch off.

Apakah KKD faham implikasi tindakan ini?

Siapa yang akan tentukan apakah perbuatan seseorang atau sesuatu kumpulan dalam konsert itu melanggar peraturan hingga wajar tindakan kill switch?

Apakah KKD akan meletakkan seorang 'penapis' dalam setiap konsert?

Semua itu menyebabkan kalangan artis dalam negara ketawa penuh bersenda.

Bayangkan sebuah kumpulan rock yang sedang beraksi di pentas tiba-tiba suara mereka dibisukan akibat kill switch.

Awang dapat bayangkan laporan media antarabangsa bagaimana Malaysia 'menapis' konsert!

Awang harap bijak pandai dalam KKD carilah cara yang lebih praktikal, munasabah dan cerdik dalam menangani isu seperti ini.

Janganlah oleh sebab satu insiden KKD nak bertindak di luar kebiasaan. Ada cara lain yang lebih baik tentunya.

Mula-mula artis luar lepas itu artis tempatan pula mangsa kill switch. Dunia seni kita dah cukup tersepit dengan kekangan dan tapisan.

Janganlah tambah lagi bebanan untuk mengekang kreativiti seniman.