RUU dana politik: Kerajaan pertimbang lantikan bersesuaian

Ramkarpal - Foto Bernama
Ramkarpal - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan mempertimbangkan lantikan bersesuaian dalam Jawatankuasa Badan Berkanun Persekutuan sebagai usaha memastikan pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik lebih teratur dan dikawal selia dengan berkesan.

Sehubungan itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, kerajaan juga akan mengambil kira cadangan serta pandangan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK).

"Berhubung sesi libat urus selain rujukan kepada JKPK yang merentasi parti politik, penelitian berhubung sumbangan politik telah melalui sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti pemimpin tertinggi parti politik, wakil dan ahli parti, kementerian dan jabatan serta agensi persekutuan.

"Sesi libat urus bersama jabatan dan agensi kerajaan telah berlangsung pada 26 September 2022 manakala bersama wakil parti politik pada 28 September 2022.

"Sesi seumpama ini juga akan diteruskan berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa untuk menerangkan bagaimana RUU tersebut berfungsi," katanya ketika Sesi Kamar Khas Dewan Rakyat pada Rabu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kerajaan akan merujuk RUU tersebut kepada JKPK bagi membolehkan parti politik dan pihak berkepentingan memberi maklum balas, seterusnya diambil kira bagi memastikan akta yang digubal bersifat menyeluruh.

Dalam pada itu Ramkarpal berkata, sesi libat urus yang dilaksanakan dapat meningkatkan keyakinan rakyat mengenai tadbir urus ahli politik dan anggota pentadbiran diamalkan berteras prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

"Selain itu ia turut membuktikan komitmen kerajaan dalam melaksanakan agenda reformasi yang telus, berterusan dan memantapkan integriti serta tatakelola yang baik demi kesejahteraan rakyat

Artikel Berkaitan:

"Diharapkan sumbangan politik dalam apa juga bentuk tidak digunakan sebagai medium penyalahgunaan kuasa dalam kalangan ahli dan parti politik yang boleh menjejaskan imej negara," ujarnya.