Pertimbang pembiayaan awam parti politik jadi ketetapan dasar

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memasukkan pembiayaan awam parti politik sebagai salah satu daripada tujuh pertimbangan ketetapan dasar berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann berkata, cadangan itu dibuat untuk memastikan bahawa akta tersebut dapat mengawal selia cara parti mendapatkan dana.
Selain itu katanya, pembiayaan awam dapat disediakan berdasarkan peratusan undi pada pilihan raya lalu.
“Dengan komponen ini, kami mahu meminimumkan pergantungan pihak kepada penderma korporat besar yang mungkin cuba mempengaruhi dasar kerajaan atau mempunyai akses kepada kontrak kerajaan secara tidak adil,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.