Penduduk sifatkan banjir paling buruk

Penduduk, Muhammad Amirul Amir Zairulshanizam, 26, menaiki sampan di hadapan rumahnya pada tinjauan di Batu 9, Jalan Changkat Jong, pada Selasa. - Foto Bernama
Penduduk, Muhammad Amirul Amir Zairulshanizam, 26, menaiki sampan di hadapan rumahnya pada tinjauan di Batu 9, Jalan Changkat Jong, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

TELUK INTAN - Banjir yang melanda daerah ini susulan cuaca tidak menentu dengan ribut petir dan hujan lebat sehingga apabila paras air naik secara mendadak, disifatkan penduduk antara yang terburuk pernah dialami.

Penduduk Kampung Batu 9, Changkat Jong, Atan Arshad, 63, berkata, kebiasaannya penduduk di kampung terbabit akan bersiap sedia apabila tiba musim tengkujuh setiap tahun namun tidak menyangka kali ini ia datang mengejut.

Menurutnya, memang setiap tahun kampung itu akan mengalami banjir apabila tiba Monsun Timur Laut (MTL) tetapi paras air sekitar 0.6 meter namun kali ini banjir melepasi paras 1.2 meter.

"Ketika kejadian saya baru pulang dari kedai dan ketika sampai di perkarangan rumah saya lihat air mula naik dari belakang rumah dan terus saya masuk untuk selamatkan butiran peribadi, rekod perubatan serta mencapai beberapa helai pakaian sahaja.

"Saya keluar dari rumah air mula bergenang dan terus saya bawa motosikal keluar sebelum keadaan bertambah buruk. Barangan seperti peti sejuk, mesin basuh, almari dan sebagainya memang saya tinggalkan kerana tidak mampu berbuat apa-apa," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Padang Tembak, dekat sini pada Selasa.

Penduduk yang terjejas akibat banjir di tempatkan di PPS, Dewan Serbaguna Padang Tembak ketika tinjauan, pada Selasa. - Foto Bernama
Penduduk yang terjejas akibat banjir di tempatkan di PPS, Dewan Serbaguna Padang Tembak ketika tinjauan, pada Selasa. - Foto Bernama

Bagi Norjamaayah Suraji, 50, yang tinggal di Kampung Batu 10, pihaknya mengharapkan jalan penyelesaian dan tindakan proaktif oleh pihak berkuasa untuk bagi mengurangkan risiko banjir di kampung itu.

"Sebelum ini kami sangat bersyukur apabila pihak berkenaan telah membina ban (benteng menahan air) termasuk kolam tadahan air namun peliknya banjir kali ini yang paling teruk kami alami.

Artikel Berkaitan:

"Kami sebenarnya berharap sangat isu banjir di sini diselesaikan dan ada penduduk yang sudah berani membeli perabot dan kelengkapan rumah baharu kerana yakin banjir dapat dikurangkan setelah tetapi berlaku sebaliknya," katanya.

Katanya, sebagai orang kurang upaya (OKU) pergerakan agak terbatas apabila berlakunya banjir dan beliau merayu kepada pihak kerajaan agar permasalahan yang timbul dapat diselesaikan.

"Saya bersama ibu dan dua anak perempuan masuk ke PPS pada 23 Oktober lalu dan pulang ke rumah pada Sabtu lepas selepas air surut namun dimasukkan semula ke sini pagi Ahad.

Jika tidak ke masuk ke PPS bimbang pula keselamatan kami yang terdedah kepada jangkitan penyakit, haiwan berbisa seperti ular. Kami harap pihak berwajib dapat bantu kami kerana kali ini banjir agak teruk," katanya.

Sementara itu, Mohd Suhairi Suandi, 46, yang tinggal di Jalan Sekolah, Kampung Sungai Kerawai menyatakan air akan naik seperti pasang dan surut mengikut waktu.

"Air akan surut pada pukul 8 malam dan akan kembali naik pada 4 pagi, kadangkala tengah kami tidur air dah naik sampai ke paras katil.

Sudah beberapa hari kejadian begini berlaku dan tidak menunjukkan tanda akan surut maka saya ambil keputusan untuk berpindah ke PPS," katanya.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata di Hilir Perak sahaja, 183 orang daripada 54 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak selepas banjir melanda 11 kawasan di daerah itu setakat 4 petang tadi.

Kawasan yang terlibat ialah Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Batu 9, Simpang 3, Batu 10, Batu 7, Lorong Sidang Osman, Lorong Mesra, Batu 8, Lorong Sekolah Kg Sungai Kerawai dan Batu 7 1/2. - Bernama