Rasuah: Bukan kerana gaji, tetapi empat faktor ini!

Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Tarmize)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Tarmize)
A
A
A

SALAH satu fraud yang terbesar dalam sektor kerajaan dan swasta adalah rasuah.

Jenayah ini amat berbahaya kerana ia membuka jalan kepada berlakunya jenayah lain.

Sebagai contoh, penguat kuasa yang menerima rasuah dan melepaskan pengedar dadah, menyebabkan najis dadah dapat dijual di pasaran gelap.

Pistol yang dibawa masuk bermodalkan 'minyak pelincir' serendah RM50 yang diberikan kepada pegawai di sempadan, mungkin mengakibatkan rompakan bersenjata yang mengorbankan nyawa.

Dalam sektor pembinaan, rasuah menyebabkan sesebuah bangunan dibina tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Akhirnya, mengakibatkan bangunan tersebut tidak selamat digunakan.

Mengapa rasuah berlaku? Gaji rendah sudah semestinya bukan faktor utama seseorang itu terlibat rasuah. Buktinya dapat dilihat melalui laporan media setiap hari.

Penjenayah rasuah terdiri daripada pelbagai kumpulan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Rata-ratanya mempunyai jawatan dan kedudukan tertentu dalam sektor kerajaan dan swasta.

Model fraud - segitiga dan berlian

Faktor yang mendorong seseorang itu terlibat jenayah kolar putih seperti fraud dan rasuah dijelaskan melalui Model Segitiga Fraud dan Model Berlian Fraud.

Model Segitiga Fraud (Fraud Triangle) dibangunkan pada tahun 1953 oleh seorang ahli kriminologi Amerika Syarikat bernama Dr Donald R Cressey.

Menurut model ini, seorang manusia biasa akan terdorong melakukan fraud kerana mempunyai peluang, tekanan dan rasionalisasi (akal).

Pada tahun 2004, Model Segitiga Fraud dikembangkan oleh Wolfe dan Hermanson dengan menambah satu lagi faktor iaitu keupayaan individu terbabit.

Model baharu ini dikenali sebagai Model Berlian Fraud (Fraud Diamond).

Empat punca rasuah berlaku

Model Segitiga Fraud dan Model Berlian Fraud boleh digunakan untuk menjelaskan ‘mengapa’ dan ‘bagaimana’ seseorang itu terlibat dengan jenayah rasuah.

Secara ringkasnya, faktor yang mendorong seseorang itu terjebak dengan rasuah adalah seperti berikut.

Faktor pertama adalah KEMAMPUAN untuk melakukan rasuah.

Dengan kata lain, rasuah tidak akan berlaku sekiranya pelaku tiada keupayaan untuk melakukannya.

Kemampuan wujud apabila seseorang itu mempunyai kedudukan dan kuasa dalam organisasi; mempunyai pengetahuan untuk memanipulasi proses kerja; memiliki keyakinan bahawa perbuatan beliau tidak akan dikesan atau ditangkap; dan keupayaan untuk mengatasi kerisauan akibat tindakan salah yang dilakukan.

Faktor kedua adalah PELUANG yang ada di depan mata. Seseorang itu cenderung melakukan rasuah apabila beliau melihat ‘jalan’ untuk melakukannya, dengan risiko rendah untuk ditangkap.

Peluang wujud kerana kelemahan kawalan dalaman, karenah birokrasi, tiada pemantauan, tiada sistem pengasingan tugas, dan penggunaan budi bicara yang luas.

Contohnya, prosedur permohonan yang mempunyai banyak lapisan (birokrasi atau ‘red tape’) sebelum diluluskan, menyebabkan urusan menjadi lambat.

Keadaan itu membuka peluang kepada pelanggan yang ingin cepat untuk menawarkan rasuah.

Begitu juga sekiranya prosedur terlalu kompleks, menyebabkan ada pegawainya menawarkan ‘bantuan’ untuk memudahkan proses dengan bayaran tertentu.

Faktor ketiga adalah TEKANAN, sama ada tekanan kewangan atau tekanan kerja.

Contoh tekanan kewangan adalah masalah hutang dan tunggakan bil yang tidak mampu diselesaikan. Masalah kewangan boleh terjadi akibat tindakan seseorang individu itu yang mengamalkan gaya hidup mewah, terlibat dengan ketagihan dadah, alkohol dan berjudi.

Mungkin juga disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup, terutamanya bagi mereka yang mempunyai isteri dan anak yang ramai.

Tekanan kerja pula boleh berlaku apabila seseorang itu beranggapan bahawa kerja yang dibuat tidak setimpal dengan gaji.

Ataupun, tidak setimpal dengan penilaian yang diberi oleh pegawai atasan.

Dalam dunia perniagaan yang penuh dengan persaingan, rasuah digunakan untuk memastikan sesuatu projek atau tender berjaya diperolehi.

Rasuah dilakukan bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi desakan untuk meneruskan kelangsungan sesebuah syarikat.

Faktor keempat adalah RASIONALISASI terhadap perbuatan mereka.

Orang yang melakukan rasuah tidak melihat diri mereka sebagai penjenayah.

Sebaliknya, merasakan mereka adalah orang biasa yang jujur, tetapi terperangkap dalam keadaan yang salah.

Mereka mewajarkan perbuatan salah dengan alasan yang kelihatan logik (rasional).

Contoh rasionalisasi yang biasa adalah, “Ini bukan salah saya. Saya tiada pilihan. Tuhan pasti akan mengampunkan saya."

“Semua orang buat benda ni”, “Orang nak bagi, ambil jer la. Bukan saya minta pun”, “Bos pun ambil rasuah. Tak kan saya tak boleh."

“Bukan duit dia pun. Dia akan claim daripada syarikatnya”, “Kalau saya tak ambil, orang lain akan ambil."

“Dia untung, saya pun untung. Apa masalahnya?”, dan “Saya buat kerana terdesak. Saya kena bantu keluarga saya yang miskin”.

Langkah pencegahan rasuah

Memahami faktor-faktor pendorong ini membolehkan seseorang itu melaksanakan langkah pencegahan secara kendiri.

Mengelakkan diri daripada terjebak dalam jenayah merupakan komitmen diri sendiri, disokong dengan tadbir urus baik dalam organisasi.

Rakan-rakan yang saling menasihati amat membantu, terutamanya ketika berada dalam dilema.

Pada masa yang sama, sesorang itu mesti menguruskan tekanan kerja dan kewangan dengan baik.

Majikan dan organisasi pula berperanan dalam mengukuhkan sistem dan prosedur kerja agar peluang untuk rasuah berlaku dapat ditutup.

Pekerja mesti diingatkan agar tidak menggunakan rasuah untuk melicinkan sesuatu urusan.

Majikan juga perlu sentiasa mendidik pekerjanya agar menolak sebarang pemikiran yang merasionalisasikan tindakan jenayah yang mereka lakukan.

Akhir sekali, benteng pencegahan terakhir adalah integriti diri seseorang itu. Harus diingat, tiada yang dapat mengubah diri kita, kecuali kita sendiri.

* Mohamad Tarmize Abdul Manaf ialah Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)