Pelan strategik buat Johnathan

Laporan Sukan Sinar pada 26 Oktober. Gambar kecil: Mohd Firdaus
Laporan Sukan Sinar pada 26 Oktober. Gambar kecil: Mohd Firdaus
A
A
A

PENEMBAK negara, Johnathan Wong sudah mempunyai pelan strategik bagi meningkatkan prestasinya menjelang sembilan bulan tirai Sukan Olimpik Paris dibuka pada 26 Julai 2024.

Jurulatihnya, Mohd Firdaus Abd Rahim berkata, pihaknya bersama Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) sudah menyusun beberapa pelan dan kejohanan yang bakal disertai atlet berusia 31 tahun itu mulai awal tahun depan.

Beliau berkata, biarpun Johnathan sudah meraih tiket ke temasya terbesar dunia itu, namun kejohanan bertaraf antarabangsa tersebut mampu memantapkan lagi persembahannya.

“Walaupun sudah layak (Olimpik), tapi kita mahu hantar dia bersaing secara sengit dan sekurang-kurangnya melayakkan diri tiga kali ke final dalam kejohanan antarabangsa sebelum ke Olimpik.

“Menerusi pendedahan pada kejohanan itu, kita percaya score Johnathan akan bertambah baik dan tahap keyakinan turut meningkat,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Atlet kelahiran Melaka itu menempah slot ke Paris selepas menduduki tempat keempat acara 10 meter (m) air pistol individu lelaki pada Kejohanan Menembak Asia ke-15 di Changwon, Korea Selatan baru-baru ini.

Johnathan kini menyertai senarai dua lagi atlet negara yang turut layak ke pentas Olimpik Paris 2026 iaitu perjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Latif.

Mohd Firdaus menjelaskan, Johnathan akan menyertai saingan kelayakan Asia pada Januari 2024, disusuli Terbuka Denmark sebulan kemudian dan pada April bersaing dalam final kelayakan di Brazil.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penembak itu juga akan menyertai dua Piala Dunia Menembak iaitu di Baku, Azerbaijan pada Mei serta Munich, Jerman pada Jun dan kemudian menyertai kem latihan Olimpik di Perancis pada Julai.

“Kita berharap untuk mendapat keizinan dan persetujuan dari MSN (Majlis Sukan Negara) atau pihak berkaitan untuk terus berada di luar negara bermula Mei hingga ke temasya Olimpik.

“Banyak peluang yang kita boleh dapat apabila berada di luar negara.

"Misalnya kita boleh dapat service pistol dan pellet yang terbaik, selain barrel dan peluru yang lebih baik.

"Bukan yang ada sekarang tidak baik, tapi kita nak yang lebih baik," katanya.

Temasya terbesar dunia itu dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.