Mangsa banjir di perak kembali meningkat, satu PPS dibuka di Selama

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat apabila 156 mangsa daripada 45 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak, Kerian dan yang terkini di Selama.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Star dibuka 8 malam tadi menempatkan 30 mangsa daripada 11 keluarga selepas kediaman mereka dinaiki air.

"PPS itu menempatkan mangsa dari Kampung Sungai Star dan Kampung Tanjung Lengkong, manakala di Kerian kekal dengan 41 mangsa daripada sembilan keluarga masih ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak.

"Sementara itu, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak di Hilir Perak menunjukkan peningkatan iaitu 85 mangsa daripada 25 keluarga berbanding 40 mangsa daripada 12 keluarga yang dilaporkan semalam," menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong mencatatkan tahap bahaya 4.10 meter berbanding dua meter paras normal.

"JPS turut melaporkan paras air Sungai Slim di Slim River turut berlaku kenaikan menghampiri aras amaran apabila merekodkan bacaan 25.31 meter daripada paras normal 23.50 meter, manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang turut berada pada paras amaran iaitu 13.92 meter.

"Sungai Ijok di Larut Matang dan Selama (LMS) berada pada paras berjaga-jaga apabila merekodkan ketinggian 11.62 meter berbanding paras normal iaitu 10.4 meter termasuk Sungai Kerian turut naik ke paras 11.52 meter," menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut dan hujan lebat dijangka berlaku pada sebelah petang dan malam di semua daerah.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Selain itu, F 193 Jalan Proton City di daerah Mualim juga terhalang laluan di kedua-dua arah dan ditutup kepada kenderaan akibat tanah runtuh, manakala di Kerian laluan FT 147 Jalan Selama hanya dibuka kepada kenderaan berat dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah. - Bernama