Layak Olimpik belum tentu masuk RTG, apa pula nasib Zii Jia?

Lee Zii Jia - Foto AFP
Lee Zii Jia - Foto AFP
A
A
A

APA agaknya keputusan yang akan dibuat Jawatankuasa Road to Gold (RTG)?

Ada atau tidak atlet yang bakal disingkirkan?

Ada atau tidak muka baharu yang bakal diserap masuk dalam program RTG?

Itu antara persoalan yang bermain dalam benak fikiran saya sebaik berakhirnya Sukan Asia Hangzhou 2022 kira-kira tiga minggu lalu.

Dalam tempoh tiga minggu itu sehingga hari ini, macam-macam sudah berlaku.

Apapun segala persoalan itu bakal terjawab esok.

Jawatankuasa RTG akan bermesyuarat bagi membincangkan status atlet RTG – sama ada kekal atau terdapat pertambahan mahupun sebaliknya.

Setakat ini, tiga atlet - Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Johnathan Wong (menembak) layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel Berkaitan:

Namun, kejayaan itu bukan jaminan buat mereka untuk diserap masuk secara automatik dalam program RTG, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Sabtu lalu.

Ikut kata beliau, RTG adalah 'topup service' kepada atlet yang berpeluang memenangi pingat emas dan bukannya layak ke Olimpik.

Katanya lagi, atlet layak ke Olimpik sudah ada dalam Program Podium.

Pada 6 April lalu, Jawatankuasa RTG telah mengumumkan senarai 15 atlet dengan 11 daripadanya terdiri daripada barisan pemain badminton negara bersandarkan ranking semasa mereka ketika itu.

Diketuai pemain perseorangan profesional lelaki, Lee Zii Jia, 10 lagi pemain badminton yang turut terpilih ialah dua beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan gandingan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii.

Beregu utama wanita, Pearly Tan-M Thinaah selain dua beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai melengkapkan senarai pemain badminton dalam program RTG.

Empat lagi kuota diisi duo jagoan berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan dua penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Skuad hoki lelaki, The Speedy Tigers muncul atlet berpasukan pertama disenarikan dalam program RTG selepas anak-anak buah Arul Selvaraj itu memenuhi kriteria utama berada dalam kelompok 10 terbaik dunia pada Jun lalu.

Kini selepas empat bulan berlalu sejak pengumuman senarai atlet program RTG, ranking semasa mereka sudah berubah – ada naik dan ada turun.

Paling mudah dipantau, ranking barisan pemain badminton negara.

Melihatkan senarai terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) setakat jam 2 petang, Ahad (29 Oktober 2023), ada pemain yang mengalami peningkatan dan penurunan ranking dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Misalnya, Zii Jia – juara Seluruh England 2021 dan juara Asia 2022 sudah terkeluar dalam kelompok 10 terbaik dunia. Zii Jia yang pernah mengecapi gelaran pemain nombor dua dunia kini menduduki tangga ke-11.

Biarpun berjaya mendaki tiga anak tangga selepas muncul juara Terbuka Artik 2023 di Finland dua minggu lalu – gelaran sulungnya dalam tempoh 17 bulan, Zii Jia masih gagal untuk menembusi ranking 10 teratas.

Jika ada ‘keajaiban’ kemungkinan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah berusia 25 tahun itu berpeluang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia apabila kemas kini ranking BWF dikeluarkan esok.

Persoalannya, adakah Zii Jia akan disingkirkan jika namanya tidak ‘terselit’ dalam ranking 10 teratas dunia?

Jika sekurang-kurangnya menduduki tangga ke-10 dunia, itu sudah cukup menyelamatkan Zii Jia.

Ya harus diakui Zii Jia dilihat sudah kembali menemui sentuhan terbaiknya.

Buktinya, dia muncul juara Terbuka Artik 2023 di Finland.

Malah, Zii Jia berjaya muncul naib juara Terbuka Denmark 2023 seminggu kemudian.

Pada Terbuka Perancis 2023 baru-baru ini, Zii Jia tersingkir seawal pusingan kedua.

Dari sudut positif, dia berjaya membalas dendam ke atas Weng Hong Yang - pemain yang menewaskannya pada final Terbuka Denmark 2023.

Apa sekalipun ‘persembahan’ Zii Jia dalam tiga kejohanan terakhir di Eropah selain penampilannya pada Sukan Asia 2022 yang menyaksikan dia tersingkir di peringkat suku akhir, Jawatankuasa RTG harus bijak menilai.

Kecuali gandingan Aaron-Wooi Yik yang kini menduduki ranking ketiga dunia, Yew Sin-Ee Yii (sembilan) serta Pearly-Thinaah (sembilan) yang pastinya terselamat, status Zii Jia pula masih samar-samar.

Begitu juga dengan Kian Meng-Pei Jing dan Soon Huat-Shevon. Ikutkan ranking semasa, Kian Meng-Pei Jing yang kini menghuni tangga ke-21 dunia dan Soon Huat-Shevon (14) sudah boleh mengucapkan ‘selamat tinggal’.

Tidak terkecuali Speedy Tigers. Nasib Speedy Tigers juga tampak tidak menentu selepas jatuh ke tangga ke-12 gara-gara prestasi hambar pada Sukan Asia Hangzhou 2022 biarpun pada awalnya mereka memburu pingat emas.

Bagi Pandelela, Dhabitah dan Shah Firdaus, status mereka dalam program RTG tidak perlu dipersoal bersandarkan prestasi masing-masing selepas menyumbang pingat pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

Azizulhasni pula masih menjadi prospek terbaik kontinjen Malaysia untuk kekal dalam program RTG sekalipun dia tidak dapat mengerah kudrat dan keringat di bumi Hangzhou susulan kecederaan yang dialami.

Apa sekalipun ‘percaturan’ Jawatankuasa RTG nanti, anda semua diingat jangan terlepas pandang.

Jika ada yang perlu diberi amaran, layangkan ‘kad kuning’.

Jika ada yang patut disingkir, layangkan terus ‘kad merah’.