PRN: Tersenarai atau tidak, serah pada parti

Dari kiri: Ismail, Ravi, Mohamad Rafie dan Michael
Dari kiri: Ismail, Ravi, Mohamad Rafie dan Michael
A
A
A

SEREMBAN - Empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan sama ada mereka masih diberi peluang untuk mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) atau sebaliknya.

Bekas ADUN Sri Tanjung, Datuk M Ravi berkata, sebagai ahli parti, beliau akan akur dengan apa saja keputusan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun katanya, selama tiga penggal berkhidmat sebagai ADUN di kawasan itu, beliau sudah melaksanakan tugasnya sebaik mungkin.

"Saya tak mahu komen lanjut dan akan serah kepada pucuk pimpinan pusat untuk menilai petunjuk prestasi utama (KPI) saya kerana ini ialah kuasa mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Exco Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ismail Ahmad pula berharap masih diberi peluang bertanding di DUN Labu kerana baharu satu penggal berkhidmat di situ.

"Apa-apa pun saya akan patuh kepada keputusan parti," katanya.

Selain itu, bekas ADUN Chuah, Datuk Michael Yek Diew pula menawarkan diri mempertahankan kerusi itu sekiranya masih diberi kepercayaan oleh parti.

Beliau berkata, ramai turut menawarkan diri sebagai calon di DUN berkenaan namun yakin dirinya mempunyai rekod yang baik.

"Saya yakin kebijaksanaan pimpinan pusat untuk tengok prestasi. Tempoh satu penggal saja untuk saya berkhidmat sebagai ADUN di kawasan Chuah tidak cukup kerana masih banyak yang perlu dilakukan," katanya.

Begitu juga dengan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang turut menawarkan diri mempertahankan kerusi DUN Ampangan.

Ujarnya, prestasi DUN Ampangan antara yang terbaik berbanding dengan keseluruhan 36 DUN di Negeri Sembilan.

"Pelbagai pembangunan diusahakan dalam menjalankan amanah selaku wakil rakyat, antaranya pembinaan Pasar Moden Ampangan, Kompleks Komuniti Ampangan untuk menggantikan Balai Penghulu yang telah uzur, Jejantas Ampangan yang menghubungi Bangunan UTC - Benteng Ampangan dan Dataran Ampangan.

"Alhamdulillah, diperingkat Negeri Sembilan, amanah dalam portfolio ekonomi khususnya pelaburan dan perindustrian berjalan cemerlang dan menjadi sebutan setiap orang sebagai tanda mercu kejayaan Negeri Sembilan," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) memenangi 20 kerusi daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN di negeri ini yang mana (6) PKR, (11) DAP dan (3) Amanah.