Jangan dibuai kemenangan besar, pesan Yusri

Milunovic (kiri) melakukan percubaan ke arah gawang gol Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu. - Foto Bernama
Milunovic (kiri) melakukan percubaan ke arah gawang gol Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN Perak FC diingatkan supaya tidak dibuai kemenangan besar, 8-0 ke atas Kelantan FC dalam perlawanan berintensiti tinggi Liga Super di Stadium Perak pada Sabtu.

Sebaliknya, pengendali The Bos Gaurus, Yusri Che Lah menuntut pemainnya meningkatkan disiplin permainan dalam mengharungi baki saingan liga selepas meraih kemenangan terbesar musim ini.

Yusri juga mahu skuad Kejor Yeop Kejor itu tampil lebih padu seperti dibuktikan, biarpun tanpa khidmat beberapa pemain tonggak seperti Jesper Nyholm dan Firdaus Saiyadi ketika berdepan cabaran The Red Warriors (TRW).

"Saya gembira apabila pasukan berjaya mengawal perlawanan dengan baik sekali gus memperoleh kemenangan berharga biarpun tampil tanpa beberapa pemain tonggak.

"Malah para pemain tahu apa harus dilakukan dan mengikut perancangan ditetapkan bagi mendapat tiga mata berharga dengan gol yang cukup besar sekali gus memperbaiki kedudukan dalam liga.

"Saya percaya kemenangan pada malam ini (semalam) akan menaikkan semangat mereka bagi menghadapi JDT di Stadium Sultan Ibrahim, namun kita tidak boleh dibuai terlalu lama dan fokus kita akan dialihkan kepada aksi Piala Malaysia pula," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Perak sebelum itu, meraih kemenangan besar selepas membelasah pasukan tercorot Kelantan, 8-0 di Ipoh dengan menyaksikan Luka Milunovic mencipta hatrik jaringan (m-13, m-25 dan m-33) manakala Seonung Seo turut meledak dua gol pada minit ke-49 dan m-66.

Wan Zack Haikal (m-17), Shivan Pillay (m-36) dan Luciano Guaycochea (m- 84) juga tidak ketinggalan mencetak nama sebagai penjaring untuk membantu skuad The Bos Gaurus melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menjinakkan Negeri Sembilan FC, 1-0 di Paroi sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, anak buah Yusri akan mengharungi baki tiga perlawanan di tempat lawan dan satu di laman sendiri sebelum melabuh kempen liga.

Selain itu, Perak juga akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri bagi aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) awal bulan depan.

Dalam pada itu, pengendali Kelantan, Alfredo Vera menyifatkan kebanyakan pemain muda TRW yang ditampilkan dalam perlawanan itu kurang pengalaman.

Selain itu katanya, pemain-pemain juga tidak mampu menguasai rentak permainan.

"Sejujurnya tidak mudah untuk kami beraksi dengan baik dan sukar buat pemain-pemain muda dengan minit permainan yang sedikit selain terpaksa berdepan lawan yang lebih kuat serta berpengalaman termasuk pemain-pemain import.

"Strategi untuk perlawanan seterusnya tetap sama, kita akan bekerja keras dan bermain semaksimum mungkin. Pemain-pemain tidak salah kerana mereka telah berusaha sepenuh hati untuk pasukan ini, cuma pengalaman yang membezakan," ujarnya.