Isu kewangan ancam bilangan pasukan Liga Super musim depan - MFL

Kedudukan semasa 14 pasukan saingan Liga Super 2023. - Infografik MFL (Gambar kecil: Stuart)
Kedudukan semasa 14 pasukan saingan Liga Super 2023. - Infografik MFL (Gambar kecil: Stuart)
A
A
A

ISU masalah kewangan sehingga menjejaskan pembayaran gaji pemain dan pegawai berpotensi menggugat perancangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengekalkan jumlah pasukan bertanding dalam saingan Liga Super musim depan.

Perkara itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam yang menganggap struktur Liga Super dengan penyertaan 14 pasukan ketika ini adalah struktur terbaik pernah dilaksanakan.

Bagaimanapun, pada masa sama menurut Stuart, pendekatan itu juga bukan dilihat sebagai satu kemestian.

Mengambil kira isu masalah kewangan dihadapi pasukan yang kembali hangat diperkatakan, tambah Stuart, MFL akan melakukan yang terbaik termasuk jika terpaksa mengurangkan jumlah pasukan bertanding demi menjaga imej liga.

"Saingan liga musim ini sepatutnya mempunyai 16 pasukan, penyingkiran Melaka United dan Sarawak United FC adalah disebabkan masalah dalaman mereka.

"Jadi jika timbul isu, kami (MFL) perlu mengurangkan kepada 13 pasukan (musim depan), jika ia harus berlaku, maka ia harus berlaku," katanya yang mahu sebanyak 14 pasukan kekal dalam saingan musim depan, ketika ditemui selepas Majlis Penutup Liga Teqball Malaysia 2023 pada Ahad.

Sementara itu, Stuart mengesahkan sebanyak dua pasukan berdepan masalah kewangan dengan salah satunya adalah Kedah Darul Aman (KDA) FC sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak di media sosial bahawa separuh pasukan bertanding mengalami masalah kewangan.

Pada masa sama, beliau memuji tindakan pemilik Sang Kenari, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang berani tampil menjelaskan mengenai masalah kewangan dihadapi skuad Hijau Kuning sehingga menyebabkan bayaran gaji pemain dan pegawai tertunggak sejak Ogos lalu, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Jelas Stuart, beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali baru-baru ini bagi berbincang dan membantu juara Liga Super dua kali itu.

"KDA bukan 'repeat offender' (pesalah berulang), kita bagi ruang kepada pasukan untuk selesaikan masalah ini secara dalaman," kata bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu. - Bernama