Harga telur, ayam dijangka naik selepas 30 Oktober - Cake

Pelaksanaan apungan harga ayam dan telur dijangka menyaksikan kenaikan harga dua barangan ini selepas tarikh 30 Oktober ini. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal
Pelaksanaan apungan harga ayam dan telur dijangka menyaksikan kenaikan harga dua barangan ini selepas tarikh 30 Oktober ini. Gambar kecil: Mohamad Yusrizal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan apungan harga ayam dan telur dijangka menyaksikan kenaikan harga dua barangan ini selepas tarikh 30 Oktober ini.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff menjelaskan, ini kerana tiada lagi kawalan harga dan subsidi sekali gus menyebabkan harga makanan akan terus meningkat di pasaran tempatan.

"Permasalahan dia adalah ada pihak akan ambil kesempatan.

"Bila kita tengok sebelum ini bila diapungkan harga, berlaku pesta kenaikan harga terhadap barangan keperluan ini terutama ayam dan telur yang telah menjadi makanan terhadap golongan B40 dan juga miskin tegar dia banyak makan telur.

"Jadi bila diapungkan harga berlaku kenaikan yang sangat tinggi dan kerajaan perlu mengawal balik harga," katanya dalam program Fokus Minggu Depan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Yusrizal berpendapat apa yang boleh dilaksanakan kerajaan adalah dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga secara tegas supaya harga tidak naik secara mendadak apabila apungan itu dilakukan kelak.

Pihaknya juga menerima banyak aduan daripada peniaga susulan kenaikan harga beras sebelum ini seterusnya menyebabkan kuasa membeli mula menunjukkan trend penurunan.

Tambahnya lagi, sekiranya kenaikan harga ayam dan telur berlaku selepas ini, lebih banyak pengusaha akan menutup perniagaan mereka di masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Kita jangkakan peristiwa ini akan berlaku juga sekiranya berlaku pengapungan harga ayam dan telur.

"Peniaga-peniaga industri kecil SME ini akan menaikkan harga makanan mereka.

"Pengguna yang tidak sempat makan di rumah mungkin akan terbeban dengan permasalahan ini dan pengguna hari ini berfikir untuk jimat kos hidup mereka yang mana gaji yang rendah ini seterusnya kurangkan kuasa membeli," katanya lagi. - Awani