Badrul Muhayat sering cakap soal kematian - Sahabat

Jenazah Badrul Muhayat dibawa ke Hospital Sebarang Jaya untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya. - Foto Bernama
Jenazah Badrul Muhayat dibawa ke Hospital Sebarang Jaya untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya. - Foto Bernama
A
A
A

PELAKON Badrul Muhayat, 55, yang meninggal dunia ketika tidur di sebuah rumah inap desa di Taman Pauh Jaya di sini pada Sabtu, sering bercakap soal kematian dengan beberapa rakannya sejak sebulan lepas, kata seorang sahabatnya.

Zazly Baginda yang juga seorang pelakon berkata, arwah sangat rapat dengannya dan sejak sebulan lepas sering bercerita seolah-olah sudah sampai masanya untuk kembali ke dunia abadi.

Beliau yang tidak mengesyaki apa-apa ketika itu hanya menganggap Badrul yang juga rakan niaga di karnival anjuran Uda Holding Berhad (UDA) di Jalan Baru, di sini, bergurau seperti biasa kerana arwah nampak lebih sihat sejak berkahwin dengan Norhayati Zulkaply, 50, April lepas.

"Arwah memang rapat dengan saya kerana kami selalu bersama menjalankan perniagaan di Karnival UDA di beberapa lokasi seluruh negara malah kali ini di Pulau Pinang kami pilih untuk tinggal serumah di inap desa di Taman Pauh Jaya.

"Arwah selalu cakap bahawa dirinya macam nak mati dan dia juga banyak sangat cakap soal mati sejak kebelakangan ini. Arwah ni baik orangnya tanyalah sesiapa pun mesti cakap Badrul ni baik dan murah dengan senyuman," katanya kepada pemberita ketika ditemui di inap desa di Taman Pauh Jaya.

Terdahulu jenazah Badrul atau nama sebenarny Badrul Muhayat Ahmad Jailani dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Selain Badrul dan isteri serta Zazly bersama keluarganya, pelakon Aida Aris turut menginap di inap desa teres dua tingkat yang sama, kerana mereka terlibat dalam jualan di Karnival UDA di sini yang bermula semalam hingga esok.

Sementara itu seorang lagi rakan artis, Nadia Kesuma berkata, beliau dan beberapa rakan artis yang terlibat dengan Karnival UDA amat terkejut, langsung tidak menyangka pemergian Badrul kerana dia kelihatan dalam keadaan sihat sahaja.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Allahyarham Badrul seorang yang 'energetic', suka bergurau, mudah mesra dengan sesiapa saja, dan beliau tahu arwah menghidap penyakit kencing manis namun keadaannya semakin sihat berbanding satu ketika dahulu.

Beliau berkata, Norhayati memaklumkan selepas selesai bedah siasat di Hospital Seberang Jaya, jenazah Badrul akan dimandi dan dikafankan di Masjid Jalan Baru, di sini dan dibawa balik untuk dikebumikan di Sentul, Kuala Lumpur. - Bernama