Axiata Game Hero lahirkan pemain profesional eSport

Kesemua 12 pasukan dari Malaysia,Indonesia, Bangladesh dan Cambodia yang menyertai Kejohanan Akhir Kuala Lumpur eSport Axiata Game Hero Free Fire-Battlegrounds (Free Fire) di KLCC pada Ahad lalu.
Kesemua 12 pasukan dari Malaysia,Indonesia, Bangladesh dan Cambodia yang menyertai Kejohanan Akhir Kuala Lumpur eSport Axiata Game Hero Free Fire-Battlegrounds (Free Fire) di KLCC pada Ahad lalu.
A
A
A

PASUKAN dari Indonesia, RRQ Hades dinobatkan sebagai juara pada Kejohanan Akhir Kuala Lumpur eSport Axiata Game Hero Free Fire - Battlegrounds (Free Fire) Ahad lalu, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM65,000.

Terdiri daripada empat remaja iaitu Richard William Manurung, 20; Syahadi Putra, 18; Laode Purbin Yamil, 18 dan Agung Hotami, 20, RRQ Hades mengalahkan sebanyak 11 lagi pasukan pada kejohanan eSport pertama anjuran Axiata Group Berhad (Axiata).

Selaku ketua pasukan, Richard berkata, mereka amat teruja dan berbangga dengan kejayaan tersebut setelah agak lama tidak mencapai kemenangan utama.

Menurutnya, kemenangan itu ternyata berbaloi apabila dia sendiri hanya tidur dua jam sepanjang tempoh pertandingan selama tiga hari itu.

“Kami rasa sangat gembira kerana sebelum ini pada pertandingan lain, kami sering di tempat akhir. Pernah juga menang tempat pertama tapi sudah agak lama.

“Wang kemenangan ini biasanya kami buat simpanan dan membeli barang-barang keperluan untuk peralatan permainan video yang lebih baik,” katanya selepas kejohanan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini sempena Comic Fiesta pada Ahad lalu.

Sementara itu, pasukan Onic Esport juga dari Indonesia mendapat tempat kedua, manakala pasukan On Fire Cyanide dari Bangladesh menang tempat ketiga dan tempat keempat disandang oleh pasukan tempatan, High Quality.

Axiata Game Hero adalah kejohanan permainan mudah alih pertama seumpamanya di rantau ini yang melibatkan penyertaan syarikat operasi Axiata dari empat negara di Asia iaitu Boost (Malaysia), Smart Axiata (Kemboja), XL Axiata (Indonesia) dan Robi Axiata (Bangladesh).

Artikel Berkaitan:

Seramai 48 pemain iaitu tiga pasukan utama daripada empat negara termasuk Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Kemboja layak ke peringkat akhir kejohanan daripada seramai 50,000 pemain yang menyertai kejohanan berkenaan.

Ketua Inovasi Produk dan Kerjasama Axiata, Peggie Lim berkata, Axiata Game Hero adalah platform terbaik bagi melahirkan bakat besar dalam bidang eSport.

Menurutnya, pihaknya akan membawakan musim kedua kejohanan Game Hero 2020 dengan permainan yang lebih menarik sebagai galakan kepada peserta untuk menjadi pemain profesional eSport.

“Sebagai salah satu syarikat telekomunikasi terkemuka di Asia, kami amat teruja dengan keupayaan peralihan era digital dan teknologi, ditambah dengan kerjasama pembangunan perisian di Malaysia, Techninier Sdn Bhd pada tahun ini.

“Permainan dalam talian secara profesional kini menjadi kerjaya di beberapa negara dan kami berharap konsep pendapatan berasaskan ganjaran daripada hadiah kejohanan akan memacu serta memberikan inspirasi kepada pemain di Malaysia," katanya.

Bidang eSport menyaksikan pertumbuhan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan nilai pasaran yang dijangka melebihi AS$74.4 bilion (RM308.2 bilion) pada 2019, didorong oleh akses mudah ke peranti mudah alih dan sambungan internet berkelajuan tinggi.

Sejak Malaysia umumkan penyertaan eSport dalam edisi ke-30 Sukan SEA, Axiata dan Techninier telah melabur sebanyak RM6 juta untuk menyokong dan menggalakkan belia digital yang bijak di seluruh Malaysia, Kemboja, Indonesia dan Bangladesh untuk memanfaatkan peluang baharu dalam era digital.

Pasukan RRQ Hades dinobatkan sebagai juara menerima hadiah yang disampaikan oleh Mr Aravin Kumar (dua dari kiri) yang mewakili Kumpulan Bahagian Strategi and Marketing Axiata dan Ketua Pegawai Eksekutif Techninier Sdn Bhd, Datuk Lion Peh (kanan).
Pasukan RRQ Hades dinobatkan sebagai juara menerima hadiah yang disampaikan oleh Mr Aravin Kumar (dua dari kiri) yang mewakili Kumpulan Bahagian Strategi and Marketing Axiata dan Ketua Pegawai Eksekutif Techninier Sdn Bhd, Datuk Lion Peh (kanan).