Tiga treler bantuan kecemasan bernilai RM7.2 juta dijangka ke Gaza - MCM

Sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) sedang menyusun atur bantuan kecemasan yang akan dihantar ke Gaza.
Sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) sedang menyusun atur bantuan kecemasan yang akan dihantar ke Gaza.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga treler membawa barangan perubatan, makanan dan minuman bernilai AS$1.5 juta (RM7.2 juta) kepada rakyat Palestin dijangka bertolak pada Isnin dari Kaherah ke sempadan Mesir-Palestin menuju Gaza.

Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Mohd Johari Ismail berkata, proses kemasukan barangan bantuan kecemasan itu dilakukan sejak Jumaat oleh sukarelawan MCM yang berada di sana sejak 10 hari lalu.

"Sebahagian sumbangan itu adalah daripada rakyat Malaysia. Lebih RM500,000 dibelanjakan untuk membeli bantuan kecemasan seperti perubatan, makanan dan minuman itu daripada RM1.5 juta yang telah digunakan untuk misi tersebut.

"Majoriti sumbangan disalurkan terus kepada MCM Palestin di Gaza yang diketuai oleh penduduk tempatan, Ahmad Abu Ayesh," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Mohd Johari, bagi bantuan dari Mesir, pihaknya dan Muslim Care Egypt bergabung dengan badan bukan kerajaan antarabangsa 'Miles of Smiles' yang turut dianggotai NGO dari United Kingdom, Jordan, Turkiye serta Sweden.

Sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) sedang menyusun atur bantuan kecemasan yang akan dihantar ke Gaza.
Sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) sedang menyusun atur bantuan kecemasan yang akan dihantar ke Gaza.

Ujar beliau, antara makanan yang akan dihantar ke Gaza ialah daging, ikan dan kacang dalam tin, tepung gandum, keju, serbuk teh, manisan serta botol air minuman.

"Barangan itu dimasukkan ke dalam kotak kecil dan setiap satu seberat lapan kilogram.

Artikel Berkaitan:

"Barangan perubatan seperti pembalut luka, kerusi roda, katil, pengusung beroda, tongkat, alat pengimbas serta mesin ECG untuk rawatan jantung juga disediakan," ujarnya yang mengetuai misi tersebut bersama Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar dan Exco Media, Tuan Asri Tuan Hussein.

Jelas beliau, Al-Arish kini menjadi pusat pengumpulan barangan bantuan untuk ke Gaza di sebuah stadium dan kerajaan Mesir bercadang untuk membuka hospital medan di bandar itu sebelum melonggarkan kawalan pintu sempadan bagi merawat ribuan rakyat Palestin yang cedera.

Sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) bersama bantuan makanan yang akan dihantar ke Gaza.
Sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) bersama bantuan makanan yang akan dihantar ke Gaza.

Sementara itu, Mohd Johari memaklumkan kemasukan lori bantuan kecemasan ke Gaza masih terhad dan sehingga kini hanya 74 lori membawa makanan serta ubat-ubatan dibenarkan melepasi lintasan Rafah manakala beratus-ratus lori lagi beratur di pintu sempadan menunggu giliran.

"Pihak 'Miles of Smiles' turut mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Mesir untuk merancang kerjasama.

"Namun, petugas mereka juga tidak dibenarkan masuk ke Gaza dan hanya barangan bantuan sahaja dibenarkan. PBSM Mesir kini memusatkan operasi dan bantuan kecemasan mereka di Al-Arish," katanya.

Tambah Mohd Johari, tindakan pihak berkuasa Mesir yang tidak memberi kelulusan untuk menyertai konvoi tiga treler ke Al-Arish itu amat mengecewakan.

"Tetapi tugas dan amanah rakyat Malaysia akan tetap dilaksanakan. Insya-ALLAH, selepas kami bertiga pulang pada Sabtu dan akan ada pasukan MCM yang menyambung tugas kami untuk fasa berikutnya.

Sukarelawan Muslim Care Malaysia menunjukkan bantuan kecemasan yang dimuat dalam sebuah treler untuk dihantar ke Gaza.
Sukarelawan Muslim Care Malaysia menunjukkan bantuan kecemasan yang dimuat dalam sebuah treler untuk dihantar ke Gaza.

"Pastinya, fokus kami selepas ini ialah untuk ke Al-Arish dan seterusnya masuk ke Gaza jika mendapat lampu hijau," ujar beliau.

Dalam pada itu, katanya, pihak yang turut berkolaborasi untuk bantuan kecemasan kepada rakyat Palestin dalam perang kali ini adalah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),

Perdana Global Peace Foundation (PGPF), Pertubuhan Khidmat Umah (PKU) dan One Nation.

Selain itu, katanya, MCM turut menyertai Ops Ihsan dikoordinasikan Wisma Putra dengan gabungan 45 NGO Malaysia membabitkan penghantaran bantuan kecemasan sebanyak 50 tan bernilai RM7 juta menggunakan pesawat udara yang dijadualkan berlepas ke Al-Arish pada 3 November depan.