Jaringan dua awang import bantu PDRM atasi KL City

Pemain PDRM FC Mohd Safiee Ahmad (dua, kanan) cuba mendapatkan bola daripada pemain Kuala Lumpur FC Sean Gan Gianneli (kanan) pada Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Khamis. - Foto Bernama.
Pemain PDRM FC Mohd Safiee Ahmad (dua, kanan) cuba mendapatkan bola daripada pemain Kuala Lumpur FC Sean Gan Gianneli (kanan) pada Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Khamis. - Foto Bernama.
A
A
A

JARINGAN dua pemain import masing-masing oleh Marcus Macauley dan Fadi Awad, membantu PDRM FC menumpaskan Kuala Lumpur City (KL City) FC 2-0, pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, dekat sini pada Khamis.

Skuad warga kota yang menguasai babak pertama melaungkan amaran awal dengan rembatan deras penyerang dari Ivory Coast Tchetche Kipre, namun telah dinafikan penjaga gol tuan rumah Mohamad Ramdhan Ab Hamid, pada minit ke-21.

Kipre kemudian memperoleh peluang keemasan membuka tirai jaringan KL City, namun sekali lagi dinafikan Mohamad Ramdhan yang tangkas menyelamatkan tandukan pada minit ke-37, manakala percubaan ketua pasukannya Paulo Josue pula hanya menggegar tiang kanan gol, di penghujung babak pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, Mohamad Ramdhan sekali lagi bertindak cemerlang dengan menggunakan kakinya, bagi menafikan percubaan Kipre pada minit ke-46.

Tatkala pelawat rancak mengasak kubu PDRM, namun hasil serangan balas menyaksikan tonggak tengah dari Liberia Marcus Macauley, menggegar jaring KL City pada minit ke-60, selepas menyambar bola muntah penjaga gol Kevin Ray Mendoza yang menyelamatkan sepakan pemain sayap Mohamad Nabil Ahmad Latpi.

Situasi bola muntah sekali lagi ‘menguntungkan’ PDRM apabila pemain tengah dari Jordan Fadi Awad, melengkapkan kemenangan mereka dengan jaringan kedua pasukan pada minit ke-75, selepas Mendoza menyelamatkan dua percubaan berturut-turut pemain gantian Uche Agba.

PDRM, yang sebelum ini diikat 1-1 oleh Kuching City FC pada 8 Okt lepas kekal di tangga kelapan dan berkongsi 31 mata dengan KL City, yang berada di kedudukan ketujuh, dengan kelebihan perbezaan jaringan. - Bernama.

Artikel Berkaitan: