Isu Palestin: Malaysia perlu bawa dua usul penting di UNGA

Rakyat Palestin berdepan serangan bom hampir setiap hari dari rejim Zionis. - Foto AP (Gambar kecil: Dr Ahmad Marthada)
Rakyat Palestin berdepan serangan bom hampir setiap hari dari rejim Zionis. - Foto AP (Gambar kecil: Dr Ahmad Marthada)
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia perlu membawa dua usul penting dalam Sidang Khas Kecemasan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UNGA) di New York bagi menghentikan kekejaman dan penindasan rejim Zionis Israel ke atas Palestin.

Pakar Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, dua usul yang boleh dibawa ialah mengadakan segera gencatan senjata bertujuan membolehkan bantuan kemanusiaan dapat dibawa masuk.

Selain itu, Malaysia boleh mengusulkan penyelesaian jangka panjang iaitu mengiktiraf kedaulatan Palestin dan memaksa penempatan haram Yahudi dikembalikan kepada kerajaan Palestin.

“Gencatan senjata ini penting kerana bantuan kemanusiaan akan mudah dibawa masuk. Sempadan Mesir perlu dibuka manakala bantuan dari laut juga mesti dibenarkan.

“Ini juga peluang terbaik untuk Malaysia menyatakan perlunya ada penyelesaian jangka panjang kerana selagi ada negara dalam PBB yang tidak mengiktiraf kedaulatan Palestin, begitulah yang akan terjadi iaitu dengan semberononya penindasan dilakukan Israel.

“Sebagaimana Britain mengambil inisiatif untuk menyokong usul membentuk negara Israel pada tahun 1948, maka perlu juga ada satu usul untuk mengiktiraf kedaulatan Palestin dan memaksa penempatan haram orang Israel dikeluarkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Rabu memaklumkan Malaysia akan turut serta dalam sidang khas UNGA bagi membincangkan isu berkenaan Palestin.

Artikel Berkaitan: