JSJK buka 33,269 kertas siasatan babit kerugian RM1.75 bilion

Ramli - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Ramli - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman membuka sebanyak 33,269 kertas siasatan membabitkan nilai kerugian RM1.75 bilion sejak 1 Januari hingga 22 Oktober lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 27 peratus kertas siasatan telah dibuka daripada 125,169 laporan polis yang dibuat.

"Dari aspek laporan polis mencatatkan peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding hanya 116,450 laporan polis pada tahun lalu.

"Begitu juga bagi kes-kes yang disiasat turut meningkat sebanyak 20 peratus dari jumlah 27,670 kes yang disiasat bagi tempoh sama tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Ramli berkata, dari aspek pertuduhan pula, sejumlah 11,903 kes atau 36 peratus telah berjaya dituduh di mahkamah.

Mengulas lanjut Ramli berkata, sepanjang minggu kajian iaitu 16 Oktober hingga 22 Oktober lalu, sejumlah 891 kertas siasatan telah dibuka melibatkan pelbagai kategori kesalahan jenayah komersial.

"Daripada jumlah itu, kes-kes jenayah komersial bersindiket mencatatkan sejumlah 620 kes bersamaan 69.6 peratus," katanya.

Beliau berkata, kes-kes jenayah komersial bersindiket adalah merujuk kepada 14 modus operandi penipuan utama seperti penipuan belian dalam talian, pelaburan, pinjaman tak wujud, phone scam dan along.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, love scam, kes penipuan e-mel (Business Email Compromise), tanah tidak wujud, wang palsu, penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS), penipuan nombor ramalan, penipuan bomoh, kad kredit dan penyamaran bersemuka," katanya.

Ramli berkata, kes penipuan belian secara dalam talian mencatatkan jumlah kes tertinggi bagi minggu kajian iaitu 257 kes dengan kerugian RM3,864,667.98.

"Kes penipuan pelaburan turut mencatatkan jumlah kes yang tinggi iaitu 156 kes melibatkan kerugian RM21,123,014, lain-lain kes mencatatkan jumlah di bawah 100 kes," katanya.