UMT akan pastikan Nurul Akhmal dibantu

Nurul Akhmal (tengah) bersama ibu bapanya. Foto Facebook 3rd Force Pasir Mas
Nurul Akhmal (tengah) bersama ibu bapanya. Foto Facebook 3rd Force Pasir Mas
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memastikan Nurul Akhmal Mohammad Shamsuddin yang sebelum ini dilaporkan mengalami kesukaran mencari sumber kewangan bagi membolehkannya mendaftar dan menyambung pengajian menerima pelbagai bentuk bantuan.

Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) UMT dalam satu kenyataan memaklumkan, Nurul Akhmal yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda layak mendapat Dana Siswa UMT sebanyak RM500 selepas mendaftar sebagai pelajar di universiti tersebut.

Selain itu katanya, menerusi Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT, Nurul Akhmal juga berpeluang untuk memohon pelbagai bantuan dalam menampung keperluan harian serta pembelajaran.

"Antara bantuan diberikan seperti zakat, Dermasiswa Al-Falah bagi pelajar cemerlang, Dermasiswa Al-Amin bagi sara hidup dan Al-Islah bagi pelajar asnaf miskin cemerlang.

"Melihat kepada pelbagai inisiatif dan bantuan daripada UMT ini, kita percaya Nurul Akhmal akan menikmati pengajian dengan selesa sekali gus mebuktikan bahawa akses kepada pendidikan tinggi di negara ini tidak terhalang hanya kerana masalah kewangan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat UMT di sini pada Khamis.

Sebelum ini sebuah media tempatan melaporkan seorang penoreh getah, Mohammad Shamsuddin Mamat dari Kampung Kepas Apam, Pasir Mas, Kelantan buntu untuk mencari wang tunai sebanyak RM2,000 bagi membolehkan anaknya, Nurul Akhmal mendaftar dan menyambung pengajian di UMT.

Mohammad Shamsuddin sebelum ini memaklumkan, usahanya untuk mengumpul wang itu semakin sukar selepas hampir sebulan tidak dapat keluar menoreh susulan cuaca tidak menentu ketika ini.

Mengulas lanjut, UMT turut mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Raja Shamri (YRS) atas usaha dan sumbangan yang dihulurkan dalam membantu Nurul Akhmal untuk melanjutkan pengajian di UMT baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Justeru, UMT menyatakan pihaknya akan memastikan Nurul Akhmal diberi perhatian sebaiknya sepanjang pengajian di kampus sehingga bergelar graduan UMT yang cemerlang.

Nurul Akhmal anak kelima daripada tujuh beradik merupakan anak pertama dalam keluarga yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan di UMT.

Selain itu, UMT menyatakan PHEP UMT akan menghebahkan dari semasa ke semasa mengenai pembukaan permohonan pelbagai bantuan seperti Tabung Kebajikan serta Dana Siswa UMT sepanjang tempoh melanjutkan pengajian di UMT.

"PHEP UMT turut mewujudkan Skim Bekerja di Kampus (Job on Campus) untuk memberi peluang kepada pelajar UMT yang ingin mendapatkan pendapatan sambilan bagi menampung keperluan hidup selain melatih mereka hidup berdikari," jelasnya.