Kedudukan wanita perlu dianggap setaraf dengan lelaki bangunkan negara - Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

PUTRAJAYA - Kedudukan wanita dalam masyarakat perlu dianggap setaraf dengan lelaki kerana golongan itu juga memainkan peranan penting dalam membangunkan negara, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, wanita pada masa kini juga mempunyai kebolehan yang sama seperti lelaki dan mampu bersaing dengan lelaki dalam pelbagai bidang.

"Di zaman ini kita iktiraf kebolehan wanita dan kita beri tempat kepada mereka. Kita perlu anggap wanita setaraf lelaki.

"Apabila kita anggap mereka setaraf dengan lelaki, maka masyarakat akan menjadi lebih kuat kerana bukan saja tenaga lelaki digunakan (membangunkan negara) tetapi tenaga dan kebolehan wanita juga diguna," katanya ketika menjadi ahli panel pada program Minggu Negarawan bertajuk "Wanita Dalam Cabaran Politik” di sini hari ini.

Beliau berkata, masih ada negara Islam yang meletakkan wanita di tempat kedua dalam pentadbiran negara dan berpendapat peranan wanita hanya terhad dalam urusan rumah tangga dan melahirkan anak.

Dr Mahathir berkata, pada awal pentadbiran negara, terdapat seorang wanita dilantik sebagai Menteri Kabinet, Tun Fatimah Hashim sebagai Menteri Kebajikan Am.

"Kita iktiraf kebolehan wanita lebih awal. Kita dapati di waktu itu tidak ramai wanita main peranan besar dalam politik," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: