'Barbie' ungguli 'box office' Amerika Utara 3 minggu berturut-turut

'Barbie' menampilkan pelakon-pelakon ternama termasuk Margot Robbie dan Ryan Gosling.
'Barbie' menampilkan pelakon-pelakon ternama termasuk Margot Robbie dan Ryan Gosling.
A
A
A

LOS ANGELES - Filem komedi fantasi Warner Bros. Pictures, 'Barbie' kekal di puncak carta box office (pecah panggung) Amerika Utara buat tiga hujung minggu berturut-turut dengan kutipan tiga hari dianggarkan sebanyak AS$53 juta.

Ia berdasarkan data daripada firma penilaian Comscore yang didedahkan pada Ahad, lapor Xinhua.

Filem aksi langsung arahan pengarah wanita Amerika Greta Gerwig, mengumpul sebanyak AS$459.4 juta di Amerika Syarikat dan Kanada untuk kutipan global AS$1.031 bilion sehingga Ahad.

'Barbie' menampilkan pelakon-pelakon ternama termasuk Margot Robbie dan Ryan Gosling.

"Meg 2: The Trench," sebuah filem hasil kerjasama antara Amerika Syarikat dan China, menduduki tempat kedua dengan kutipan AS$30 juta pada hujung minggu pembukaannya di Amerika Utara.

Filem 'thriller’mengenai jerung arahan Ben Wheatley itu dibintangi pelakon Britain Jason Statham dan pelakon China Wu Jing,

Ia berjaya mengutip AS$112 juta dari 75 pasaran antarabangsa, termasuk kira-kira AS$54 juta daripada tanah besar China.

Sementara itu, drama biografi Universal Pictures 'Oppenheimer', arahan Christopher Nolan berada di tempat ketiga dengan kutipan AS$28.7 juta pada hujung minggu ketiganya dengan jumlah kutipan di Amerika Utara sebanyak AS$228.6 juta setakat ini. - Bernama