Sasar lebih 1 juta benih udang galah, ikan dilepas ke Sungai Kelantan

Tuan Mohd Saripudin (tiga dari kanan) diiringi Hanifa (dua dari kanan) melawat gerai jualan di karnival di Tunjong pada Rabu.
Tuan Mohd Saripudin (tiga dari kanan) diiringi Hanifa (dua dari kanan) melawat gerai jualan di karnival di Tunjong pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyasarkan lebih satu juta benih udang galah dan ikan air tawar dilepaskan ke Sungai Kelantan tahun depan sebagai usaha menjamin pendapatan ekonomi para nelayan darat di negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pelepasan hampir sejuta benih hidupan itu sudah dilakukan setiap tahun dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Kelantan sejak 2019.

Katanya, langkah penambahan itu sekali gus meningkatkan pemeliharaan ekosistem sungai yang menjadi lubuk rezeki ramai penduduk terutama di kawasan tepi sungai.

Menurut beliau, penilaian dan pemilihan lokasi yang bersesuaian juga dibuat sebelum pelepasan benih anak-anak udang galah atau ikan berkenaan.

“Kami ikut tempat-tempat contohnya yang sesuai dengan habitat anak udang galah dan ikan air tawar seperti di Temangan, Machang.

“Benih ikan seperti kelah, sebarau, lampam sungai, baung, terbul dan siakap dilepaskan supaya dapat memberi hasil kepada nelayan yang bergantung pada tangkapan di sungai,” katanya selepas merasmikan Karnival Jualan Agro Madani Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Tunjong di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Pengarah LPP, Hanifa Awang Su.

Tuan Mohd Saripudin berkata, pelepasan benih hidupan air itu termasuk antara usaha pihak kerajaan negeri bagi membantu para nelayan selain pemberian pukat, jala, bot fiber dan tong ikan.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, pihaknya turut mahu memastikan setiap nelayan darat memperoleh hasil tangkapan di sungai sekurang-kurangnya antara lima hingga 10 kilogram sehari.

“Sebagai contoh, seorang nelayan akan mendapat pendapatan minimum RM50 hingga RM100 sehari.

“Di Kelantan, sejak 2019 sebanyak 3.77 juta benih ikan dan udang galah berjaya dilepaskan ke sungai-sungai utama,” kata beliau.