Kerajaan Kelantan lancar tabung untuk Palestin

Mohd Nassuruddin (empat dari kiri) berucap ketika pelancaran Tabung Solidariti Rakyat Pelestin pada Jumaat.
Mohd Nassuruddin (empat dari kiri) berucap ketika pelancaran Tabung Solidariti Rakyat Pelestin pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan pada Jumaat melancarkan Tabung Solidariti Rakyat Pelestin bagi membantu penduduk Palestin yang kini berhadapan kemusnahan teruk akibat serangan Israel.

Menteri Besarnya, Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelancaran dilaksanakan melalui Tabung Serambi Mekah juga sebagai usaha memberi semangat kepada rakyat Palestin ketika berdepan suasana getir itu.

Menurut beliau, pengurusan tabung berkenaan dipertanggungjawabkan di bawah Perbendaharaan negeri Kelantan selama tujuh hari yang berakhir 19 Oktober ini.

"Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui Bank Islam Malaysia Berhad di nombor akaun 03018010080024," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Solidariti Rakyat Kelantan Bersama Al-Aqsa di Medan Ilmu selepas Kuliah Jumaat.

Mohd Nassuruddin turut memberitahu, penyumbang boleh memaklumkan maklumat sumbangan kepada Pejabat Pembangunan Negeri melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-25669076 untuk sebarang pertanyaan.

Orang ramai memegang kain rentang ketika melancarkan Tabung Solidariti Rakyat Pelestin.
Orang ramai memegang kain rentang ketika melancarkan Tabung Solidariti Rakyat Pelestin.

Beliau turut berharap sumbangan berkenaan dapat dipanjangkan kepada penduduk Palestin bagi mempertahankan Masjidil Aqsa.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohd Nassuruddin meminta rakyat negeri ini memulaukan produk keluaran Israel dan sekutunya bagi melemahkan sumber kewangan mereka.

"Banyak lagi barangan keluaran negara ini yang boleh digunakan.

"Mereka tidak berperkemanusiaan membunuh orang awam, kanak-kanak dan merosakkan pokok-pokok yang sememangnya dilarang ALLAH SWT ketika berperang," katanya.