PBT perlu cari solusi masalah parkir, bukan saman

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MAJLIS Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di Johor bakal menguatkuasakan larangan meletak kenderaan di luar pagar rumah bermula 1 Januari 2024.

Ia berikutan MBPG menerima 349 aduan dari awal tahun ini hingga September lalu berkait kenderaan diletakkan di depan rumah menghalang laluan.

MBPG akan mengeluarkan kompaun RM100 hingga maksimum RM2,000 bagi kesalahan berulang.

Tindakan itu diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987; Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Masalah parkir di jalan depan rumah ini sudah bertahun-tahun dihadapi di banyak kawasan perumahan di seluruh negara.

Rata-rata rumah teres mempunyai ruang beranda yang cukup-cukup untuk meletak dua buah kereta Myvi.

Kalau hendak parkir empat buah kereta, terpaksalah bersesak-sesak sampai ke pintu pagar.

Tapi tak ramai yang pilih cara ini. Mereka tak suka masa nak cepat pergi kerja, terpaksa alihkan kereta di belakang dulu.

Artikel Berkaitan:

Keadaan di pangsapuri kos rendah lebih teruk lagi. Pemandangan berpuluh-puluh kereta diletak di sepanjang jalan hingga melimpah ke jalan raya utama sudah jadi perkara biasa.

Itu belum lagi jiran yang ada lima enam buah kereta dan selamba parkir depan rumah kita.

Cerita jiran buat kawasan rumah orang macam kawasan sendiri ini sudah banyak jadi punca pergaduhan.

Januari lalu, seorang guru lelaki di Melaka dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan mencederakan isteri jirannya serta bergaduh dengan suami wanita itu berkaitan tempat letak kenderaan di perumahan teres.

Tindakan saman oleh PBT sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah.

Lebih teruk, bukan pihak berkuasa tempatan itu sahaja yang akan menjadi sasaran kemarahan penduduk, bahkan kerajaan akan terbabit sama.

Salah satu penyelesaian ialah pihak PBT membina tempat parkir, sama ada percuma atau berbayar, di kawasan lapang berhampiran perumahan. Pemaju pula boleh diwajibkan membina ruang parkir terbuka di kawasan perumahan baharu.

Kita tidak boleh menyekat orang ramai daripada membeli kereta - punca jalan raya akan semakin sesak, parkir semakin susah sebab ruang terhad.

Namun, jika langkah MBPG diikuti oleh PBT lain tanpa diberikan solusi untuk menyelesaikan masalah parkir, kita bimbang kesannya lebih buruk kepada rakyat.