Himpunan Malaysia Bersama Palestin: 'Lautan putih' banjiri Axiata Arena

Peserta Himpunan 1,000,000 Malaysia Bersama Palestin membanjiri Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO: SINAR HARIAN
Peserta Himpunan 1,000,000 Malaysia Bersama Palestin membanjiri Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO: SINAR HARIAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai mula membanjiri Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil bagi menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin sejak jam 5 petang tadi.

Ibarat ‘lautan putih’, pekarangan stadium itu dipenuhi peserta himpunan yang hadir berpakaian serba putih, bagi mempamerkan solidariti mereka kepada rakyat negara Timur Tengah itu yang kini dihimpit kesukaran akibat penindasan yang dilakukan rejim Israel.

Himpunan yang dijangka dihadiri 20,000 orang itu turut diwarnai dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera Palestin, selain digemakan dengan laungan 'bebaskan Palestin' dan 'Israel Cuak'.

Program malam ini bermula secara rasmi dengan solat Maghrib berjemaah dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan di Palestin, sebelum disusuli dengan beberapa siri ucapan berkenaan sejarah dan perkembangan konflik yang melanda negara itu oleh pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijangka akan menyampaikan amanat khas pada perhimpunan itu.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak. - Bernama

Artikel Berkaitan: